Site icon Sabah Baru News

PRK Kuala Kubu Baharu-Hakikatnya UMNO kekal ditolak kaum Melayu

Secara umumnya keputusan PRK KKB sekali lagi mengesahkan bahawa pengundi Cina dan India kekal bersama PH, manakala Melayu kekal bersama PN.

APABILA PRK Kuala Kubu Baharu kekal dipertahan calon DAP yang dimenangi sejak tahun 2013, Umno lah yang paling teruja, kerana menganggap kemenangan itu sokongan melayu pada parti itu telah kembali, sedangkan hakikatnya tidak lah demikian, kerana kemenangan calon DAP hanya mengekalkan status quo, mengekalkan sokongan kaum cina dan india, perbezaan hanya pada pengundi beruniform dan tentera, dan orang asli.

Secara umumnya keputusan PRK KKB sekali lagi mengesahkan bahawa pengundi Cina dan India kekal bersama PH, manakala Melayu kekal bersama PN.

Juga menerusi keputusan PRK itu mengsahkan kegagalan Umno menarik undi kaum melayu, sepertimana dibuktikan menerusi jumlah undi yang diperolehi calon PN.

Kawasan campuran seperti DUN KKB sejak tahun 2013 telah berpihak samada pada calon DAP atau PKR atau parti yang bekerjasama dengan dua parti itu.

Pada PRU-16 akan datang kawasan-kawasan seperti ini dijangka terus dikuasai calon-calon PH atau parti yang bekerjasama dengan parti itu, manakala kawasan majoriti kaum melayu dikuasai calon-calon PN. Ertinya daripada 165 kerusi yang tersedia di Semenanjung, kebarangkalian akan berlaku keseimbangan jumlah kerusi antara PH dan sekutu dan PN.

Untuk membentuk kerajaan diperlukan 112/222, ertinya parti-parti itu memerlukan sokongan Sarawak dan Sabah.

Untuk sementara parti-parti lokal Sarawak dan Sabah selesa bersama dengan PH dengan catitan, masing-masing parti mengekalkan status quo keputusan PRU15, PRN negeri di dua buah negeri tersebut. Sebarang pendekatan melangkaui status quo boleh menimbulkan masalah, termasuk berlakunya penjajaran baharu politik.

Khusus untuk Sabah, PH kena berhati-hati, supaya jangan terperangkap dengan mainan Umno, kerana parti itu beria-ia sangat merampas teraju kerajaan negeri daripada GRS-PH Plus dengan bekerjasama dengan Parti Warisan.

Kesilapan membuat keputusan boleh membawa padah, dan kebarangakalian akan ada penjajaran baharu selepas PRU-16.

GRS memerlukan rakan politik yang ikhlas tidak berubah-ubah walaupun dalam politik itu boleh berlaku 1001 kemungkinan. GRS tidak sanggup lagi mengubah-ubah pendirian, kerana komited dengan fokus iaitu untuk mengwujudkan kestabilan politik demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Sabah.

Para pemimpin GRS mengambil iktibar pada perubahan politik yang berlaku di Sabah yang telah menyumbang kepada kemunduran, malah mencatit rekod jumlah ketua menteri yang teramai di negara ini.

Sejak sama-sama membentuk Persekutuan Malaysia, kerajaan Sabah telah bertukar enam kali, dan kesan pada perubahan itu maka rakyat masih bergelut dengan isu-isu kemudahan asas, prasarana yang masih daif, malah terpalit dengan insiden kemiskinan dan pengangguran yang tinggi.

Pada masa ini, kerajaan negeri menunjukkan keserasian yang amat tinggi menerusi kerajaan GRS-PH Plus di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor bersama-sama dengan barisan kepimpinan negeri.

Jangan musnahkan keserasian yang ada, kerana kerajaan Sabah hari ini umpama “ A winning team” untuk merealisasikan hala tuju negeri, SABAH MAJU JAYA.

*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau .

Exit mobile version