Site icon Sabah Baru News

Ketepikan ideologi politik, lebih baik bersatu tuntut hak Sabah: Robert

Robert yang juga Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) memberitahu, komitmen dan sokongan yang dizahirkan kepada Presiden STAR dan parti STAR itu sendiri bukan sekadar ungkapan kerana beliau adalah sebahagian daripada pengasas dan peneraju awal STAR Sabah, yang diluluskan pada 2016.


KENINGAU: Pemimpin dan ahli politik perlu mengenepikan ideologi politik dalam menyuarakan tuntutan hak asasi perlembagaan Negeri Sabah berhubung pemberian geran khas 40 peratus bagi Sabah di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik berkata perbezaan pendapat dan sikap saling menuding jari tidak seharusnya berlaku sebaliknya para pemimpin perlu bersatu hati menyuarakan aspirasi rakyat.


“Tiada kompromi dalam menjalankan tanggungjawab menyuarakan tuntutan itu. Malah Ketua Menteri Sabah turut memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri tetap komited dalam hal menuntut hak-hak negeri yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, ” katanya.


Robert yang juga Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) memberitahu, adalah tidak penting sekiranya terdapat pihak yang menjadi pengulas untuk menegakkan pandangan bagi memihak organisasi atau parti politik sendiri sahaja dalam hal itu.


“Umpama istilah ‘banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam’ selaku pemimpin negeri ini, kita perlu hindari kepelbagaian ragam sebaliknya senada dalam memperkukuhkan suara menuntut hak-hak kita dan menyokong kepimpinan negeri Sabah agar kita terus kuat walaupun dari parti berbeza,” katanya dalam kenyataan yang dilaporkan oleh Utusan Borneo.


Beliau berkata demikian bagi mengulas beberapa paparan dalam media sosial yang dimuat naik oleh sebahagian pemimpin dan penyokong parti politik tertentu mengenai tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diheret ke Mahkamah Kota Kinabalu baru-baru ini.


Terdahulu, mahkamah menangguhkan pendengaran rayuan Jabatan Peguam Negara terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah yang dikutip Kerajaan Persekutuan.


Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Ravinthran N Paramaguru, Dato’ Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Dato’ Dr Choo Kah Sing menetapkan 24 Mei untuk pengurusan kes berkenaan.


Khamis lepas, ketiga-tiga pihak yang terlibat dalam kes berkenaan, iaitu Persatuan Undang-Undang Sabah, Jabatan Peguam Negara dan kerajaan Sabah selesai memberi penghujahan mereka bagi kes berkenaan.


Prosiding yang bermula kira-kira pukul 10 pagi itu turut dihadiri pemimpin politik bersama pengikut masing-masing.


Antaranya ialah Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee; Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau.

— TAMAT

Exit mobile version