Site icon Sabah Baru News

Bantahan wujudkan JKDM di Sabah perlu diterima: Pemuda USNO

Ketua Pemuda USNO, yang juga Timbalan Ketua Pemuda GRS Iskandar Zulkarnain Ramli berkata JKDM seolah-olah dilihat lebih kepada unsur kepentingan politik semata-mata.

KOTA KINABALU: Tindakan pembangkang mengkritik Menteri Keusahawanan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedict berhubung bantahan mewujudkan Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) di Sabah adalah tidak wajar.

Ketua Pemuda Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Iskandar Zulkarnain Ramli berkata, Ewon bukan pemimpin baharu yang tidak memahami konsep keputusan bersama dalam kabinet negara.

“Dalam negara demokrasi dan politik matang, tiada salahnya Ewon mengeluarkan pandangan kerana beliau salah seorang wakil rakyat dan menteri dari Sabah.

“Serangan terhadap Ewon bahkan meminta beliau letak jawatan adalah tindakan tidak matang dan kurang berasas,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Katanya, jika difikirkan isu itu, sesiapa sahaja boleh mempersoalkan kerana Sabah sudah mempunyai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) ketika ini.

“JKKK adalah institusi atau jawatankuasa pengurusan kampung yang diberi autoriti melalui Ordinan Pentadbiran Luar Bandar (B.153).

“Justeru, rasional JKDM ditubuhkan di Sabah wajar dipersoalkan kerana jawatankuasa itu tidak ditubuhkan di Sarawak,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, JKDM seolah-olah dilihat lebih kepada unsur kepentingan politik semata-mata.

“Kita faham ini mungkin cara UMNO dapat mempunyai wewenang di peringkat akar umbi, tetapi apabila ditegur, tidak sepatutnya mereka serang menteri,” katanya.

Iskandar berkata, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sepatutnya memperkasakan sahaja institusi pentadbiran kampung sedia ada.

“Mewujudkan JKDM hanya akan memberi persepsi bahawa ia ditubuhkan atas dasar survivaliti politik semata-mata.

“Kewujudan JKDM boleh menyebabkan pentadbiran kampung menjadi silo, malah akan berlaku pertindanan dan kekeliruan fungsi,” katanya.

–TAMAT

Exit mobile version