Site icon Sabah Baru News

Mustapha diumum Ketua PKR Sabah yang baharu

Mustapha diumum Ketua PKR Sabah yang baharu

KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) atau Ketua PKR Sabah yang baharu.

Ahli Parlimen Sepanggar yang juga Ketua Cabang PKR Kota Belud itu menggantikan Datuk Sangkar Rasam yang dilantik sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

Lantikan itu disahkan oleh Mustapha sendiri selepas ditanya mengenai perkembangan terbaharu itu, di sini pada Ahad.

“Ya, baru diumumkan oleh Presiden,” katanya ketika dihubungi melalui aplikasi Whatsapp.

Selain Mustapha, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam yang juga Ketua Cabang PKR Sepanggar, Peto Galim turut dilantik sebagai Timbalan Pengerusi MPN Sabah.

Pada Mac lalu, Ketua Cabang PKR Kota Marudu, Sazalye Donol Abdullah mengetuai 15 Ketua Cabang dari seluruh negeri menandatangani akuan bersumpah hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Sangkar dan memintanya meletak jawatan secara terhormat.

Kumpulan itu turut meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR menimbangkan agar seorang pengerusi baharu dilantik sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Dalam kenyataan balasnya selepas itu, Sangkar menyatakan enggan meletak jawatan dan menyerahkan kepada presiden untuk membuat keputusan.

–Hamzah Sanudin

Exit mobile version