Site icon Sabah Baru News

Sabah cadang wujudkan hubungan laut antara Kudat dan Palawan

MESYUARAT: Hajiji mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet Jabatan Ketua Menteri di Menara Kinabalu.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mencadangkan untuk mewujudkan hubungan laut antara Kudat dan Palawan Filipina bagi memulihkan ekonomi di kawasan Kudat.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, perkara itu sudah dibincangkan dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang akan melawat Kudat bersama Ahli Parlimen Kudat Datuk Verdon Bahanda.

“Dengan mewujudkan perkhidmatan feri, urus niaga tukar barang atau ‘barter trade’ di Kudat boleh dihidupkan semula,” katanya semasa mesyuarat pasca kabinet Jabatan Ketua Menteri di Menara Kinabalu di sini pada Rabu.

Hajiji berkata, perdagangan tukar barang akan membantu memulihkan ekonomi Kudat yang lembap dan pembukaan pelabuhan Kudat juga berkemungkinan boleh menjadi tempat berlabuh bagi kapal-kapal yang belayar dari selatan Mindanao ke Labuan.

Menurutnya, pada masa ini, kapal laut yang membawa barangan dari Mindanao Selatan berlayar secara terus ke Labuan. 

Justeru katanya, jika pelabuhan Kudat dibuka, ia boleh memanfaatkan laluan perkapalan Mindanao Selatan-Labuan.

“Pelabuhan Kudat juga akan diwujudkan dengan kemudahan yang diperlukan terutamanya Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS),” katanya.

“Perkara ini juga sudah dibincangkan bersama Pesuruhjaya Polis Sabah untuk melihat aspek keselamatan yang perlu dirujuk bersama pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan agar semua kakitangan kerajaan negeri perlu memahami sepenuhnya maksud dasar ‘Sabah First’ (Sabah Didahulukan)’.

“Sabah First bermakna kita mesti mengutamakan kepentingan Sabah dalam semua usaha kita. 

“Pelabur asing dan bukan warga Sabah yang ingin memulakan perniagaan di sini mesti mempunyai tarikan tempatan Sabah yang memegang 30 peratus kepentingan dalam perniagaan itu,” katanya.

Hajiji berkata, kabinet negeri juga sudah meluluskan semakan semula Skim Pembaharuan Bandar Sembulan.

“Kita bersetuju membenarkan pemilik tanah tinggal di kawasan terbabit sebaik pembangunan siap dengan pampasan kewangan yang dipersetujui,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji juga mengumumkan Sabah akan menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia tahun ini pada 16 September depan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew akan mempengerusikan jawatankuasa penganjur bersama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

— TAMAT

Exit mobile version