Site icon Sabah Baru News

Kaamatan penyatu rakyat pelbagai anutan

Kemuncak penutupan di Hongkod Koisaan pada 31 Mei lepas, mencipta sejarah baharu apabila ia dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim buat kali kedua berturut-turut.

KOMPLEKS Hongkod Koisaan di Jalan Penampang, Kota Kinabalu, sesak sepanjang dua hari kemuncak sambutan Tadau Kaamatan pada 30-31 Mei lalu.

Ia dibanjiri ratusan ribu pengunjung dari berbagai penjuru negeri Sabah, berasak dan berpusu-pusu memenuhi setiap ruang di sekitar perkampungan budaya Orang Asal itu.

Sinonim sebagai kompleks kebudayaan masyarakat Kadazan/Dusun dan Murut serta lebih 30 sub-etniknya, Hongkod Koisaan merupakan venue tahunan acara kemuncak Tadau Kaamatan.

Jelas kehadiran ratusan ribu pengunjung masyarakat berbilang kaum dan bersilang budaya meraikan Tadau Kaamatan, menunjukkan ia bukan lagi perayaan kelompok komuniti tertentu saja.

Sebaliknya, Tadau Kaamatan menjadi wadah pemersatu rakyat majmuk di bumi Sabah yang bertanjak di bawah jata Sabah Maju Jaya (SMJ) menuju kesatuan sejati.

Ratusan ribu pengunjung bermacam latar belakang dan fahaman yang hadir, menjadi lambang perpaduan rakyat berbagai anutan.

Tidak syak lagi, Kaamatan adalah simbol penyatuan rakyat yang bersatu di bawah payung negeri beraneka budaya ini.

Tahun ini, sambutan Tadau Kaamatan mengangkat tema `Kaamatan, Melangkaui Keterjaminan Makanan’ atau dalam bahasa Kadazan/Dusun ‘Kaamatan, Poingalib Kohimaganan Taakanon’.

Dilancarkan di Ranau pada 1 Mei lepas, pelbagai acara diadakan sebagai pengisian sambutan di setiap daerah.

Kemuncak penutupan di Hongkod Koisaan pada 31 Mei lepas, mencipta sejarah baharu apabila ia dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim buat kali kedua berturut-turut.

Anwar dan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hj Hajiji Hj Noor tampil dengan `sigah’ tradisi, menyempurnakan sambutan itu secara simbolik dengan menuai padi.

Dalam ucapannya, Hajiji mengakui perayaan Pesta Kaamatan juga menjadi pemersatu rakyat berbilang kaum di negeri ini.

Katanya, selain sebagai medan untuk mengetengahka budaya dan seni masyarakat Kadazan/Dusun dan Murutvdi negeri ini, Kaamatan  juga mampu menyatukan semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan budaya.

“Sebab itu, perpaduan dalam kepelbagaian suku kaum, budaya serta kepercayaan agama di Sabah adalah aset penting yang perlu dipelihara dan dipertahankan.

“Keharmonian dan warna-warni kepelbagaian inilah menjadikan Sabah unik serta istimewa selain memiliki keindahan budaya dan seni tersendiri.

“Kita perlu sematkan dalam diri masing-masing bahawa hanya dengan kestabilan dan perpaduan sahajalah yang mampu membawa sesebuah negara dan rakyatnya maju ke hadapan, sekali gus dihormati dan disegani oleh masyarakat antarabangsa,” katanya.

Hakikatnya, sambutan Pesta Kaamatan amat signifikan dengan usaha memartabatkan warisan kebudayaan dan kesenian serta menyatukan rakyat tempatan di Sabah.

Kotobian Tadau Tagzao Do Kaamatan!

*Lichong Angkui ialah seorang wartawan veteran Sabah.Beliau juga merupakan Ketua Pengarang Utusan Borneo. Penulisan ini berdasarkan pandangan beliau sebagai pemerhati politik yang berfikir di luar kotak.
Exit mobile version