Site icon Sabah Baru News

MPT disaran jadikan bulan Jun sebagai Tahun Melawat Tawau

SIMBOLIK: Nizam bersama tetamu kehormat lain membaling ketupat cina sebagai simbolik perasmian perlumbaan berkenaan.

TAWAU: Majlis Perbandaran Tawau (MPT) boleh menjadikan bulan Jun sebagai Tahun Melawat Tawau dengan menyediakan pelbagai aktiviti mega bertaraf antarabangsa di daerah ini.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) yang sudah menjadi kalendar tahunan bagi daerah ini boleh diisi dengan aktiviti lain.

Katanya, sepanjang bulan Jun misalnya, MPT boleh menganjurkan aktiviti menarik seperti perlumbaan perahu naga dan basikal yang melibatkan penyertaan dari negara luar.

“Saya sudah berbincang dengan MPT khususnya presidennya supaya sempena bulan berlangsungnya FKAT, turut diadakan aktiviti lain yang menjurus kepada perpaduan kaum.

“Kita berharap usaha ini akan mendapat sokongan daripada kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika mewakili Hajiji merasmikan Majlis Perlumbaan Perahu Naga kali Ke-37, di sini pada Ahad.Turut hadir Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui.

Nizam berkata, perlumbaan perahu ini bukan hanya sekadar sukan, tetapi ia simbol perpaduan dan kekuatan bagi menghimpunkan segenap lapisan masyarakat berbilang kaum.

“Difahamkan acara ini sudah diperkenalkan sejak 37 tahun lalu dan bukan hanya disertai masyarakat Tionghua, malah kaum lain turut mengambil bahagian.

“Justeru, saya berasa gembira kerana dapat melihat peserta perlumbaan terdiri dari kalangan berbilang bangsa dan agama,” katanya.

PENGHARGAAN: Nizam (dua kanan) menyerahkan cendera kenangan kepada salah sebuah kumpulan yang bertanding.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa komited dalam memberi sokongan kepada program dan aktiviti kebudayaan di Sabah.

Katanya, usaha penganjuran seperti ini diharapkan tidak terhenti dan dapat diteruskan pada masa akan datang untuk memelihara warisan serta memperkasakan industri pelancongan berasaskan komuniti.

“Budaya yang menjadi identiti sesuatu kaum akan pupus sekiranya usaha mewariskannya kepada generasi muda tidak dilaksanakan.

“Saya ingin meminta agar lebih ramai rakyat berbilang kaum, agama dan budaya di negeri ini meningkatkan usaha mempromosikan budaya masing-masing,” katanya.

— Hamzah Sanudin

Exit mobile version