Site icon Sabah Baru News

Sabah tetap komited tuntut hak termasuk isu 40 peratus: Hajiji

Hajiji diiringi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan Datuk Fairuz Renddan menyerahkan kunci Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) penduduk kampung pada majlis itu.

KOTA BELUD: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor mengulangi pendirian kerajaan negeri yang tidak pernah berganjak dalam usaha menuntut hak Sabah, termasuk pengembalian 40 peratus hasil negeri ini yang dikutip kerajaan Persekutuan.

Beliau menegaskan dakwaan pembangkang yang menuduhkan kerajaan pimpinannya tidak bersuara atau berdiam diri dalam isu itu adalah tidak betul, selain bertujuan memperkecilkan kerajaan negeri.

Sebaliknya, beliau berkata, tuntutan hak Sabah sentiasa diperjuang dan ditegaskan oleh kerajaan negeri, sama ada dalam Mesyuarat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) atau dalam Mesyuarat Kabinet.

Menurutnya, kalau dengar cerita di luar, macam-macam cerita untuk memperkecilkan peranan kerajaan menuntut hak Sabah.

Namun jelasnya, pihak terbabit sebenarnya tidak tahu dalam Mesyuarat MA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri, beliau juga ada di sana.

“Saya nyatakan dengan tegas apa yang kita tuntut, termasuk 40 peratus hasil cukai yang mesti dikembalikan kepada Sabah. Itu jelas, jadi jangan cakap mungkin kerajaan negeri tidak bersuara.

“Kita bersuara dalam mesyuarat dan ia direkod serta diminitkan, bukan saja semasa Perdana Menteri Ke-10 (PMX), malah juga sewaktu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri.

“Inilah yang saya bawa (tuntutan hak Sabah), boleh semak dalam minit Mesyuarat MA63,” katanya pada Majlis Penyerahan Geran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) dan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan di Padang Belia Kampung Pantai Emas di sini pad Ahad.

Hajiji berkata, usaha menuntut hak Sabah memerlukan kata sepakat daripada semua pihak bagi memudahkan usaha itu dicapai, berbanding ketika ini ada pihak tidak menyokong usaha diambil kerajaan.

“Dalam menuntut hak ini, kita kena bersatu dan saya berharap sangat kita bersatu supaya senang, bukan saja untuk menuntut hak kita, tapi memastikan suara kita dihormati oleh kerajaan Persekutuan.

“Kalau kita bergaduh kerana mahu berebut kuasa macam mana? Tentu usaha ini menjadi lambat untuk berjaya. Jadi, untuk berjaya dan maju saya harap sangat supaya dalam politik kita bersatu hati,” katanya.

Sementara itu, mengenai isu tanah anak negeri, Hajiji berkata, penyukatan tanah dan penyerahan geran tanah kepada penduduk di seluruh negeri melalui Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) akan diteruskan.

Katanya, program itu yang dimulakan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2011 berjaya menyelesaikan masalah kelewatan penyukatan tanah dan pemberian geran kepada ribuan penduduk negeri ini.

Bagaimanapun beliau berkata, ada pemimpin pembangkang di negeri ini mengaku usaha pemberian geran tanah kepada penduduk itu dimulakan ketika mereka memerintah sebelum ini.

“Program di bawah PANTAS ini diwujudkan pada 2011 lagi ketika di bawah kerajaan BN, tapi ada setengah pemimpin menganggap program PANTAS ini adalah inisiatif mereka terutama Parti Warisan (WARISAN).

“Shafie (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) jika berucap di mana-mana waktu dia Ketua Menteri dulu, dia cakap itu adalah inisiatif kerajaannya. Mereka kata usaha menolong rakyat, menyukat tanah rakyat itu dimulakan WARISAN.

“Itu tidak benar, PANTAS dilancarkan pada 2011 lagi dan sudah beribu geran diserah kepada rakyat, bukan WARISAN yang mulakan. Saya cakap ini supaya kita tahu,” jelasnya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan meneruskan Program PANTAS dan pihaknya meminta Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur supaya ia diteruskan di seluruh Sabah.

“Mana-mana rakyat menunggu lama yang belum dapat geran tanah kita mesti sukat untuk pastikan rakyat mendapat hak mereka,” katanya.

Hajiji turut memberi jaminan kerajaan pimpinannya akan meneruskan usaha melalui PANTAS itu dan banyak lagi geran akan diserahkan kepada rakyat dalam masa terdekat.

— TAMAT

Exit mobile version