Site icon Sabah Baru News

Antara hak negeri dan tanggungjawab persekutuan

Tuntutan 40 peratus adalah salah satu keistimewaan diberikan pada Sabah kerana bersetuju membentuk Persekutuan pada tahun 1963.

BIASANYA disebut dalam Bajet Tahunan Persekutuan peruntukan pembangunan untuk Sabah, seperti untuk tahun 2024 daripada RM90bilion untuk Sabah RM6.6bilion (7.33%).

Jika ada peruntukan lain ianya berbentuk tanggungjawab Kerajaan Persekutuan yang disalurkan pada berbagai kementerian dan agensi kerajaan, umpama peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk tahun ini berjumlah RM1.41bilion. Sebahagian peruntukan digunakan oleh kementerian itu mengwujudkan jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) sebagai talian hayat pada Umno Sabah kerana mereka yang dilantik adalah ahli/penyokong parti itu.

Apabila Perdana Menteri menyebut bahawa Kerajaan Persekutuan akan menyalurkan RM16bilion peruntukan untuk Sabah tahun ini (2024) mungkin ianya berkaitan dengan tanggungjawab kerajaan Persekutuan, mungkin juga didalamnya telah dimasukan bayaran sumbangan tunai rahmah (STR).

Apa yang menarik perhatian pada ucapan Perdana Menteri semasa penutupan Pesta Kaamatan 2024 adalah berkaitan tanggungjawab Persekutuan dan tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan daripada Sabah seolah-olah peruntukan Persekutuan untuk Sabah bersumber daripada hasil yang dikutip, yang membawa erti Persekutuan hanya menjadi pengumpul hasil kemudian membelanjakannya dan mengaku sebagai pemilik atas sebab Perdana Menteri menyebut permintaan negeri lain seperti Johor dan Pulau Pinang.

Persekutuan Malaysia dibentuk atas perkongsian Sabah-Sarawak- Malaya (mewakili negeri-negeri lain di Semenanjung). Dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) disebutkan berkaitan 40 peratus dan dimasuk dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan. Dengan pengertian demikian, jelas berbezanya antara tuntutan 40 peratus dengan tanggungjawab Persekutuan. Di negeri-negeri di Malaya hanya ada tanggungjawab Persekutuan, tiada tuntutan seperti mana 40 peratus.

Tuntutan 40 peratus adalah salah satu keistimewaan diberikan pada Sabah kerana bersetuju membentuk Persekutuan pada tahun 1963. Keistimewaan itu bertujuan agar kemajuan dan pembangunan Sabah boleh setara dengan negeri-negeri di Malaya dalam masa yang tidak terlalu lama (pendapat dan pandangan pemimpin masa itu).

Namun apa yang berlaku (kemajuan dan pembangunan) Sabah tidak sepertimana diharapkan, tuntutan 40 peratus tidak diberikan berlarutan 48 tahun, hanya pada 2022 ditambah sedikit menerusi bayaran interim yang jumlahnya sangat kecil berbanding 40 peratus.

Sabah menyumbang hampir 40 peratus keluaran minyak pada Petronas, selain pengeluar kedua terbesar gas asli selepas Sarawak. Sejak 1974 Sabah menyumbang kepada Petronas sehinggakan syarikat itu menjadi salah satu syarikat gergasi di dunia. Malangnya, syarikat yang disokong menjadi gergasi, negeri yang menyokong, ibarat rumput ditepi jalan hidup segan mati tak mahu.

Betul selepas Umno/BN kehilangan kuasa, peruntukan untuk Sabah dan Sarawak terus meningkat, selain itu tuntutan-tuntutan hak-hak dalam MA63 semakin terealisasi, dan tentunya dua negeri itu tidak akan berhenti sehingga apa yang dipersetujui dalam MA63 benar-benar dituntaskan “once for all”.

Tuntutan 40 peratus sepatutnya tidak dipolitikan, demikian juga tanggungjawab Persekutuan, kerana semua itu demi kepentingan rakyat. Apa yang mustahakkan laksanakan yang patut, maka aman damai lah negara. Fikir-Fikirkan.

*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau .

Exit mobile version