Site icon Sabah Baru News

Harapan Rakyat bantu tempatkan tong sampah di Kg Bukit Kukusan

SAMPAH: Sebahagian penduduk Kg Bukit Kukusan gembira masalah sampah selesai.

TAWAU: Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) mengambil inisiatif membantu penduduk Kampung (Kg) Bukit Kukusan menyelesaikan masalah sampah di kampung berkenaan.

Terdahulu, Majlis Perbandaran Tawau (MPT) bersetuju mengadakan kutipan sampah dengan meletakkan sebuah tong sampah roro di Kampung Bukit Kukusan 2 (Besi Buruk), semalam.

Presiden Harapan Rakyat Brig Jen (B) Tan Sri Liew Yun Fah berkata, pihaknya mendapat aduan mengenai masalah yang dihadapi penduduk di kampung berkenaan.

Katanya, sebanyak kira-kira 88 buah keluarga berdepan dengan masalah ketiadaan tempat pembuangan sampah teratur sejak sekian lamanya.

“Saya bersetuju membayar sewa tong berkenaan bagi tempoh dua bulan pertama, sebelum penduduk mula bayar pada bulan ketiga dan seterusnya.

“Kami di Harapan Rakyat berharap agar usaha ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk dalam usaha menjaga kebersihan dan kesihatan awam di kampung berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Harapan Rakyat Datuk Lim Yin Kat berkata, dalam pertemuan, semalam, pihak berkuasa dan penduduk telah mencapai kata sepakat berkaitan pengurusan kutipan sampah di kampung berkenaan.

“Secara dasarnya MPT bersetuju untuk menjalankan kutipan sampah sarap di kampung berkenaan menerusi penempatan sebuah tong sampah roro.

“Manakala penduduk pula akan bertanggungjawab membayar sewa tong sampah roro berkenaan sebanyak RM850 sebulan menerusi kutipan setiap keluarga,” katanya.

 Penduduk, Abbas Rahim, 62, berkata, sejak lebih 50 tahun kampung itu dibuka, penduduk hanya membuang sampah di kawasan terbuka di situ.

“Bagaimanapun, pegawai kesihatan telah meminta kawasan pembuangan sampah itu ditutup memandangkan ia menjadi lokasi pembiakan nyamuk Aedes dan penyebab kes demam denggi.

“Sejak itu, kami terpaksa membuang sampah sehingga ke kawasan Hilltop atau Jalan Utara, menumpang tong sampah orang lain bagi menguruskan sampah sarap penduduk,” katanya.

Bagi Yuliana Laandoh, 42, pula beberapa aduan telah dibuat kepada pihak berwajib, namun, tiada tindakan penyelesaian dilakukan.

“Justeru, peluang bertemu dengan Tan Sri Liew Yun Fah baru-baru ini, saya telah menyuarakan masalah penduduk kampung di sini.

“Alhamdulillah, semalam, wakil Tan Sri daripada Harapan Rakyat bersama pegawai MPT telah turun ke lokasi dan membantu menempatkan sebuah tong roro di situ,”katanya.

–Hamzah Sanudin

Exit mobile version