Site icon Sabah Baru News

61 tahun Sabah dalam persekutuan

Walaupun berlaku 6 kerajaan yang berbeza dan 16 ketua menteri , rakyat Sabah masih berdepan dengan insiden kemiskinan, kemudahan asas yang daif selain kadar pengangguran yang tinggi selama 61 tahun berada dalam persekutuan.

ENAM PULUH SATU TAHUN satu jangka masa yang panjang, iaitu usia yang melangkaui usia pesaraan kecuali mereka yang berjawatan hakim.

Mereka yang memasuki dunia pekerjaan, bermakna dalam tempoh 61 tahun, purata dalam perkhidmatan di atas 30 tahun. Tempoh masa itu tentunya banyak terisi asam garam kehidupan.

Bagi Sabah dan penduduknya tempoh masa 61 tahun telah melalui berbagai liku-liku, termasuk pertukaran 6 kerajaan yang berbeza dengan 16 Ketua Menteri, Tun Fuad Stephens, Tan Sri Peter Lo, Tun Mustapha Datu Harun , Tun Said Keruak, Tun Fuad Stephens, Tan Sri Harris Salleh, Tan Sri Pairin Kitingan, Tun Sakaran Dandai. Datuk Salleh Said, Datuk Yong Teck Lee, Tan Sri Bernard Dompok, Tan Sri Osu Sukam, Tan Sri Chong Kah Kiat, Tan Sri Musa Aman, Datuk Shafie Apdal dan Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.

Walaupun berlaku 6 kerajaan yang berbeza dan 16 ketua menteri, rakyat masih berdepan dengan insiden kemiskinan, kemudahan asas yang daif selain kadar pengangguran yang tinggi.

Menyedari keadaan negeri, Kerajaan Sabah hari ini sebaik mengambil alih kerajaan pada september 2020 telah melancarkan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ1.0) 2021-2025.

Menerusi halatuju itu digariskan strategi dan tindakan yang perlu dilaksanakan, direalisasikan supaya negeri dan rakyat terlepas daripada cengkaman warisan lebih setengah abad.

Kerajaan tidak beretorik, asalkan ada sumber kewangan maka apa yang perlu ditangani disegerakan, tanpa berlenga. Mujur lah para pemimpin kerajaan tidak perlu merujuk atau mendapatkan kebenaran daripada mana-mana pihak seperti mana lalu-lalu, kerana kerajaan hari ini diterajui parti tempatan yang dipimpin pemimpin Sabah.

Dalam jangka masa 61 tahun, hanya 4 tahun terakhir pemimpin Sabah rasa merdeka mengurus dan mentadbir negeri sendiri. Dalam tempoh itu juga banyak masalah rakyat secara gradually ditangani dan diselesaikan.

Memang diakui masih ada hak-hak Sabah seperti mana dibutirkan menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan masih tertangguh terutama tuntutan 40 Peratus Hasil Bersih Persekutuan daripada Sabah, serta Ambang Batas Laut (AMBALAT), namun ianya sedang dirunding dengan dengan gigih menerusi Jawatankuasa Teknikal MA63 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri II.

Sementara urusan yang boleh ditangani segera seperti kemudahan asas, insiden kemiskinan sedang berjalan dengan rancak, dan banyak yang telah mencapai matlamat, misalan isu insiden kemiskinan tegar, sebabnya setakat 18 Mei 2024 menurut ciapan Ketua Menteri hanya berbaki 8,699 KIR berbanding sebelum ini 22,000 KIR.

Jika setiap KIR ada 4 anggota keluarga, maka rakyat dalam kategori miskin tegar seramai 34,000 orang atau kurang daripada 1 peratus penduduk Sabah.

Angka bawah 1 peratus bukan lah angka mengerunkan, kerana isu kemiskinan merupakan isu yang dihadapi semua negara di dunia termasuk negara super maju.

Sempena menyambut Hari Malaysia tahun 2024 yang bertemakan Malaysia Madani: Jiwa Merdeka diharapkan dapat diteruskan selamanya, dan peluang itu boleh digenggam selama-lamanya menerusi PRN-17 Sabah akan datang.

*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau .

Exit mobile version