Site icon Sabah Baru News

GRS terbuka kepada luahan masalah air yang wujud sebelum pemerintahan WARISAN: Joniston

Joniston merujuk kepada perhimpunan #KamiMahuAir yang diadakan pada petang Jumaat.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah menunjukkan kemurahan hati dengan mengakui kebimbangan yang dibangkitkan oleh penunjuk perasaan berhubung isu air yang berterusan.

Menurut Ketua Penerangan GRS Datuk Joniston Bangkuai, kehadiran Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmy Yahya untuk bertemu dengan penunjuk perasaan untuk menerima memorandum kumpulan itu bagi pihak Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menunjukkan keterbukaan dan ketelusan kerajaan negeri tentang permasalahan rakyat

“Namun Ketua kumpulan itu berkeras untuk menyampaikan memorandum itu terus kepada Hajiji,” ujar Joniston yang menyifatkan tindakan tersebut tidak ikhlas dan mempunyai motif tersembunyi .

Beliau merujuk kepada perhimpunan #KamiMahuAir yang diadakan pada petang Jumaat.

Sokongan terbuka dari sayap pemuda WARISAN turut menimbulkan persoalan tentang niat sebenar demonstrasi itu.

“Penting untuk mempertimbangkan sama ada demonstrasi ini benar-benar menangani isu air atau jika ia bermotifkan politik untuk menjejaskan kerajaan negeri.

“Beberapa penunjuk perasaan melontarkan kata-kata kurang baik terhadap Ketua Menteri jelas menunjukkan perhimpunan tersebut mempunyai agenda politik dan bukannya untuk menyuarakan ketidakpuasan terhadap isu air semata-mata.”


“Penyertaan individu tanpa dokumen pengenalan diri juga membimbangkan dan memerlukan siasatan lanjut,” tambah Joniston.

“Ia adalah masalah yang diwarisi sejak pentadbiran terdahulu, termasuk WARISAN. Bagaimanapun kerajaan negeri tetap komited untuk mencari penyelesaian yang berkesan.

Joniston berkata apa yang penting ialah kerajaan negeri telah mengakui cabaran air yang berpanjangan dan usaha berterusan untuk menyelesaikannya.

“Dana yang besar telah diperuntukkan untuk menambah baik bekalan air termasuk di kawasan luar bandar.

“Penambahbaikan ini sudah bermula tetapi ini akan mengambil masa,” jelas beliau.

“Komitmen kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu air, bersama-sama kebimbangan lain seperti elektrik dan jalan raya, akan terbukti dari masa ke semasa.

“Oleh itu,kami menyeru agar semua pihak untuk memberi kerjasama menangani isu-isu kritikal ini secara konstruktif,” Joniston berkata.

— TAMAT

Exit mobile version