Site icon Sabah Baru News

Usahawan perlu mempunyai sikap sabar : Jonathan

RASMI: Jonathan ketika hadir merasmikan seminar berkenaan.

RANAU: Usahawan di daerah ini diminta supaya sentiasa bersikap sabar dalam perniagaan walaupun sering berhadapan dengan bermacam cabaran.

Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin berkata, kegagalan adalah satu perkara yang tidak asing dalam kehidupan manusia apatah lagi di dalam perniagaan.

Katanya, ia adalah pengalaman yang menyakitkan, namun kegagalan bukanlah pengakhiran tetapi titik permulaan yang menjadi landasan untuk kejayaan lebih besar.

“Dengan mempelajari cara yang berkesan untuk mengatasi kegagalan boleh membantu meningkatkan kesanggupan dalam mengambil risiko dan melepasi sempadan zon selesa,” katanya.

Menurutnya, jangan sesekali putus asa dalam membina kejayaan dan sentiasa maju ke hadapan kerana usaha serta keazaman yang kuat pasti membuahkan hasil.

“Berbekalkan minat yang mendalam, seseorang itu mampu berada pada tahap lebih tinggi dalam bidang diceburi,” katanya.

Jonathan berkata demikian ketika merasmikan Seminar Keusahawanan anjuran bersama Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS), Pejabat Perhubungan Parlimen Ranau dan Kelab Harapan Ranau Sabah, di sini baru-baru ini.

Mengulas mengenai seminar ini, beliau berharap semua peserta mengambil pengajaran setiap yang dikongsikan oleh penceramah dan aktiviti sepanjang program berkenaan.

“Semoga seminar ini memberikan ilmu kepada peserta terutamanya yang berhasrat memulakan perniagaan dan usahawan sedia ada.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua penganjur dan penceramah yang menjayakan seminar ini,” katanya.

–Hamzah Sanudin

Exit mobile version