Site icon Sabah Baru News

Undang-undang jenayah siber perlu dipinda segera dengan akta lebih berat: Masiung

Wakil Rakyat Kuamut, Datuk Masiung Banah .

KOTA KINABALU: Undang-undang sedia ada berkaitan jenayah siber umpama besi buruk yang perlu dipinda segera dengan akta yang lebih berat.

Wakil Rakyat Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, terdapat keperluan drastik untuk merangka akta baharu dengan lebih sistematik selaras perkembangan teknologi digital yang bergerak pentas.

Katanya, Malaysia merekodkan negara paling banyak pencerobohan data di dunia apabila berada di kedudukan ke-11 negara paling banyak data pengguna dicerobohi sejak 2022.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) merekodkan kerugian sebanyak RM2.23 bilion melibatkan jenayah siber di negara ini berdasarkan hasil kajian buku jenayah siber yang diterbitkan Institut Keselamatan Awam (IPSOM).

“Perundangan siber kita agak lemah menyebabkan Malaysia dijadikan lubuk emas scammer dari dalam dan luar negara menuai keuntungan atas angin,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Menurutnya, sebahagian besar undang-undang siber negara sedia ada digubal sebelum 2010 dan undang-undang yang ada sekarang agak lapuk.

“Akta ini perlu dipinda segera seiring kemajuan dunia maya tanpa sampadan bagi mengawal jenayah penipuan dalam talian menerusi pelbagai platform digital. 

“Dunia maya yang tuntas mengundang hampir seseluruhan rakyat negara ini terdedah dengan penipuan jenayah secara dalam talian.

“Kes kecurian data di negara ini turut menunjukan peningkatan membimbangkan apabila melonjak ketara setiap tahun,” katanya.

Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) itu berkata, pelanggaran data adalah penipuan keselamatan siber kedua tertinggi yang dilaporkan tahun lalu dengan melibatkan 5,917 kes.

“Bagi Sabah, peningkatan jenayah siber dalam tempoh tiga tahun sejak September 2020 mencatatkan sebanyak 4,686 kes membabitkan lebih RM100 juta kerugian yang sudah dilaporkan.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang merekodkan jenayah siber paling banyak di Sabah membabitkan telefon, love scam, pinjaman tidak wujud, pelaburan secara online dan kesalahan mengikut Akta Jenayah Komputer 1997.

“Hampir setiap hari kita dikhabarkan dengan insiden jenayah scammer dan penipuan dalam talian dan peningkatan kes ini amat membimbangkan,” katanya.

Tambahnya, orang ramai khususnya penguna internet sudah tidak selamat dalam menggunakan telefon pintar dan komputer kerana setiap saat dibayangi menjadi mangsa scammer.

Masiung juga menggesa penguatkuasa undang-undang dan agensi keselamatan agar segera meminda akta keselamatan siber dengan melaksanakan polisi perundangan baharu lebih efektif.

— Vivi Olviana Najurus

Exit mobile version