Site icon Sabah Baru News

Robert tekad berjuang bersama Jeffrey

Robert yang juga Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) memberitahu, komitmen dan sokongan yang dizahirkan kepada Presiden STAR dan parti STAR itu sendiri bukan sekadar ungkapan kerana beliau adalah sebahagian daripada pengasas dan peneraju awal STAR Sabah, yang diluluskan pada 2016.

KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Robert Tawik tekad untuk terus menyokong kepimpinan Presiden STAR, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan dalam menuntut hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Mengulas lanjut, Robert berkata selain itu beliau akan turut memberi keutamaan terhadap perjuangan parti demi kepentingan rakyat sekaligus memberi manfaat kepada Sabah secara keseluruhan.


Tegas beliau, komitmen dan sokongan yang dizahirkan kepada Presiden STAR dan parti STAR itu sendiri bukan sekadar ungkapan kerana beliau adalah sebahagian daripada pengasas dan peneraju awal STAR Sabah, yang diluluskan pada 2016.


Tambah Robert, beliau telah melalui pelbagai liku-liku dan cabaran sepanjang persahabatan dengan  Jeffrey (Presiden STAR) dan buktinya, keakraban itu membawa kepada landasan perjuangan yang sama.


“Keakraban ini telah membawa kami kepada landasan perjuangan yang sama. Apabila Presiden (Jeffrey) berjuang melalui United Borneo Front (UBF) pada tahun 2010, saya memilih untuk berjuang bersamanya.


“Semasa berjuang melalui UBF, kita melawan arus tetapi saya tetap pilih untuk mengharungi badai dan gelora bersama beliau (Jeffrey) dalam UBF, ” katanya.


Justeru Robert menggesa para perwakilan yang akan bersidang dalam Mesyuarat Agung Tri-Tahunan (MATT) STAR nanti supaya terus memberikan sokongan padu kepada beliau bagi meneruskan kesinambungan perjuangan.


Beliau yakin perwakilan bijak dalam mengundi bagi memastikan rumah ini (parti STAR) dijaga dan berkembang dengan baik tanpa dipengaruhi oleh usaha-usaha yang cuba menjatuhkan beliau walaupun beliau merupakan seorang pemimpin awal yang melalui pelbagai liku dan cabaran bersama Jeffrey.


Robert mempersoal apakah motif disebalik usaha itu untuk menyingkirkan pemimpin awal sepertinya walhal beliau terlibat dari awal untuk membina, menjaga serta mengembangkan parti itu dan apa lagi tindakan terancang lain yang seterusnya.


Katanya lagi, pihak yang cuba memfitnahnya untuk menjatuhkannya kemungkinan tidak menyedari betapa setianya beliau terhadap Presiden semasa Jeffrey menjadi wakil rakyat pembangkang pada 2013 dan sepanjang tempoh itulah beliau mendampingi Jeffrey walaupun berstatus pembangkang.

— Kenneddy Corlleus

Exit mobile version