Site icon Sabah Baru News

Pendirian Jeffrey simple tetapi tegas-“Kerusi parlimen di Sabah biar disandang parti lokal”

Timbalan Pengerusi GRS dan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Penglima Dr Jeffrey Kitingan bertegas menolak parti-parti Malaya yang datang untuk merebut kerusi-kerusi parlimen di Sabah.

JUMLAH kerusi parlimen 222, Semenanjung 165/222 (74.3%), Sabah & Sarawak 57/222 (25.7%).

Untuk memelihara roh perkongsian kuasa antara Malaya, Sarawak dan Sabah, maka kerusi parlimen di Malaya disandang parti Malaya, di Sabah & Sarawak parti lokal dua negeri tersebut.

Jika parti Malaya juga menyandang kerusi di Sarawak & Sabah, maka mencacatkan roh perkongsian kuasa.

Daripada masa Pembentukan Persekutuan Malaysia, tiada rekod parti tempatan Sabah & Sarawak menang kerusi di Malaya, walaupun part-parti daripada Sabah mencuba, seperti PBS dan Warisan.

Berbeza dengan parti Malaya boleh menang kerusi samada di Sarawak ataupun Sabah, malah di Sabah pernah menjadi tunjang kerajaan.

Pengalaman Sabah semasa ditunjangi parti Malaya, harapan tinggal harapan, walaupun di penghujung kejatuhan cuba menjual semula harapan, tetapi sudah terlambat.

Memperkukuh semangat perkongsian kuasa, apabila berlaku sokong menyokong antara parti-parti di tiga wilayah, dengan memperkuat kedudukan di wilayah masing-masing, demikian maksud Datuk Seri Panglima Dr Jeffery G Kitingan Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang juga merupakan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Semua tahu dengan jumlah kerusi 57/222 daripada Sabah & Sarawak hanya menjadi pelengkap pada 165/222 kerusi Malaya.

Walaupun menjadi pelengkap setidak-tidaknya ada suara. Berbeza jika sebahagian kerusi juga disandang parti Malaya, walaupun bukan pelengkap tetapi sebahagian, tetapi tiada suara, melainkan hanya menjadi pak angguk/pak turut, seperti mana berlaku berdekad-dekad.

Para pemimpin tempatan parti Malaya di Sabah pada hakikatnya tahu batas dan kapasiti mereka, dan buktinya walaupun berpenggal-penggal menjadi wakil rakyat mewakili parti itu, kawasan yang diwakili tidak maju dan membangun, apa tah lagi kawasan lain.

Kerana kategori mereka sebagai pak angguk, maka 40 peratus hasil bersih Persekutuan daripada Sabah dipersiakan, yang meliputi tempoh masa 48 tahun, apabila berpuashati dengan geran kepala RM26.7juta sejak tahun 1969 dan hanya berubah selepas kehilangan kuasa.

Bukti jelas apabila Kerajaan Negeri diterajui Parti Tempatan yang menyokong kerajaan Persekutuan, maka geran khas bukan sahaja bertambah tetapi menjadi bayaran interim, sementara menunggu pemuktamadan bayaran 40 peratus.

Ertinya apabila roh atau semangat perkongsian kuasa benar-benar dipatuhi, maka hak-hak masing-masing seperti mana dipersetujui semasa pembentukan Persekutuan Malaysia direalisasikan atau ditunaikan.

Rakyat Sabah tidak wajar lagi kembali pada kaedah lama, walaupun masih dipergunakan para pemimpin tempatan yang memimpin parti Malaya di Sabah.

Telah tiba masanya rakyat Sabah membuat keputusan untuk menyokong parti tempatan sebagai platform politik untuk bersama-sama dengan parti malaya di Malaya memerintah negara.

*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau .

Exit mobile version