Site icon Sabah Baru News

Projek Pasar Rakyat di Beluran bukti komitmen kerajaan negeri

RASMI: Dr. Joachim mewakili Ketua Menteri menyempurnakan gimik perasmian Pecah Tanah Bangunan Pasar Rakyat Dua Tingkat Pekan Beluran sambil disaksikan oleh Samad.

BELURAN: Peruntukan sebanyak RM2.5 juta untuk pembinaan Pasar Rakyat dua tingkat di Pekan Beluran bukti kerajaan negeri komited meningkatkan taraf sosioekonomi dan kesejahteraan rakyat di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, projek itu adalah bukti nyata komitmen kerajaan bagi memastikan objektif Hala Tuju Sabah Maju Jaya dapat dicapai.

Katanya, pembangunan ini adalah satu lagi inisiatif kerajaan dalam usaha memperbanyakkan penyediaan kemudahan perniagaan kepada penduduk, khususnya mereka yang terlibat dalam bidang perniagaan.

“Selepas empat tahun berlakunya pandemik COVID-19, kesannya dari segi sosial dan ekonomi masih lagi terasa sehingga kini. Namun ia tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk membangunkan negeri ini.

“Sebab itu, kerajaan negeri telah menggubal Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya sebagai satu pelan dengan objektifnya untuk memulihkan semula ekonomi negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Pecah Tanah Bangunan Pasar Rakyat Dua Tingkat Pekan Beluran, di sini pada Sabtu.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam. Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Samad Jambri.

Menurutnya, melihat kepada sejarah pasar sedia ada, ia adalah sebuah lot gerai terbuka yang berbumbung dengan menempatkan kira-kira 51 peniaga, yang dibina pada tahun 2002 di Pekan Beluran.

“Bagaimanapun, saya dimaklumkan ia sudah semakin usang, selain memerlukan kemudahan perniagaan lebih besar, teratur dan selesa bagi menempatkan peniaga yang semakin ramai.

“Justeru, kerajaan melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah meluluskan projek pembinaan ini dengan kos peruntukan sebanyak RM2.5 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12),” katanya.

Hajiji berkata, bangunan yang lengkap dengan fasiliti dan kemudahan ini dijangkakan dapat membantu 70 orang peniaga tempatan dan memberikan keselesaan kepada masyarakat Beluran yang datang berkunjung.

“Bangunan yang turut dilengkapi dengan kemudahan lain seperti surau dan tandas ini dijangka siap pada Mei tahun depan.

“Oleh itu, saya berharap projek ini dapat disiapkan mengikut jadual kerana ia adalah antara usaha kerajaan bagi menaikkan taraf hidup serta meningkatkan tahap sosio ekonomi rakyat di daerah ini,” katanya.

Beliau juga menggesa semua ketua-ketua Jabatan serta pemimpin masyarakat Beluran supaya memastikan semua projek pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan di daerah ini dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

“Saya menyeru kepada semua pemimpin dan masyarakat di Beluran supaya sentiasa memberikan sokongan terhadap dasar serta program yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Semua dasar yang digubal dan program yang dirancang adalah untuk kepentingan, kesejahteraan dan pembangunan negeri Sabah yang tercinta ini,” katanya.

— Hamzah Sanudin

Exit mobile version