Site icon Sabah Baru News

10Star Cinemas secara rasminya bertapak di Kota Marudu

Majlis perasmian pagawam baharu 10Star Cinemas disempurnakan Pembantu Menteri Kewangan Datuk Julita Mojungki (berdiri tiga dari kanan) yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor pada Sabtu.

KOTA MARUDU: WK Consortium Sdn Bhd dan 10Star Cinemas Sdn Bhd secara rasminya telah bekerjasama bagi melancarkan pawagam pertama di utara Sabah.

Terletak di 1 Avenue Commercial Centre (1ACC) di sini, 10Star Cinemas mempunyai enam dewan pawagam dengan kapasiti keseluruhan 420 tempat duduk.

Kedua-dua syarikat ini berhasrat agar 10Star Cinemas mampu memberikan peluang kepada belia khususnya dari segi peluang pekerjaan dan kesenian yang tidak pernah ditawarkan di daerah ini.

Majlis perasmian berkenaan disempurnakan Pembantu Menteri Kewangan Datuk Julita Mojungki yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor pada Sabtu.

Acara ini juga menandakan rasminya Pesta Kaamatan 1 Avenue Commercial Centre.

Ketua Pegawai Eksekutif 10Star Cinemas Sdn. Bhd, Onn Norshal Hamzah berkata, 10Star Cinema adalah pawagam moden pertama di Kota Marudu dan utara Sabah.

Beliau berkata, pawagam ini dijangka menjadi mercu tanda penting dalam perkembangan industri kreatif di kawasan ini.

Ditubuhkan pada tahun 2021, 10Star Cinema telah berjaya membuka cawangannya di Tawau, Sandakan dan Papar. 

Dengan pembukaan di Kota Marudu, syarikat ini meneruskan misinya untuk membawa konsep pawagam komuniti ke seluruh Malaysia, terutamanya di kawasan luar bandar Sabah.

Onn Norshal berkata, pawagam baharu ini turut dilengkapi dengan teknologi projektor laser terkini dan sistem bunyi digital canggih dari India.

Dengan pembukaan pawagam ini, beliau berkata, penduduk Kota Marudu dan kawasan sekitarnya kini boleh menikmati tayangan filem dengan pengalaman setanding dengan pawagam komersial di bandar-bandar besar.

“Saya telah berkecimpung dalam industri ini selama 25 tahun. Saya berjanji bahawa pawagam di sini adalah antara yang terbaik di Sabah, termasuk di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif MAA Group Berhad Tunku Dato’ Yaacob Khyra berkata, pelaburan Kumpulan dalam perniagaan pawagam adalah signifikan.

Beliau berkata, kumpulannya melabur RM5 juta dalam setiap 10Star Cinemas.

“Para penonton akan menikmati filem dengan skrin terbaik, sistem bunyi berkualiti tinggi dan projektor terbaik.

“Tujuan kami mewujudkan 10Star Cinemas adalah untuk orang ramai meluangkan masa dengan orang tersayang dalam persekitaran yang selesa dan selamat,” katanya.

Pengurus Hal Ehwal Korporat WK Consortium Sdn Bhd Chloe Yip Wei Yee menghargai visi ibunya, Aidah Wong Siew Yien, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkenaan yang dalam memulakan projek pembangunan di Kota Marudu.

“Saya masih ingat dahulu kawasan ini serba kekurangan, hanya terdapat satu hotel di bandar.

“Pada mulanya saya meragui keputusan syarikat untuk memulakan projek di daerah ini, kerana tidak dapat melihat visi ibunya untuk Kota Marudu.

“Pada 2016, apabila 1ACC berjaya disiapkan, saya kembali di sini bersama ibu saya dan saya terkejut dengan kemajuan yang dicapai.

“Kini setelah dewasa, saya dapat melihat visi yang sebenarnya dilihat ibu saya,” katanya.

Katanya, Kota Marudu berpotensi besar untuk berkembang maju di masa hadapan.

Selain pembukaan pawagam, WK Consortium Sdn Bhd mengumumkan dua projek baharu di 1ACC, iaitu 1 Avenue Residence dan 1ACC Service Apartment. 

Projek-projek ini dijangka meningkatkan ekonomi dan kemudahan bagi penduduk Kota Marudu secara signifikan.

Majlis itu juga menyaksikan WK Consortium Sdn Bhd menyampaikan sumbangan kepada beberapa organisasi kebajikan tempatan, termasuk Hostel St Theresa, Pusat Pemulihan Komuniti Kota Marudu dan Persatuan Ibu Tunggal Kota Marudu, sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat mereka kepada komuniti setempat.

Hadir sama Ketua Pegawai Kewangan WK Consortium Sdn Bhd, Claire Yip.

— Yap Siong Han

Exit mobile version