Site icon Sabah Baru News

Industri pelancongan Tawau mampu berkembang pesat

KENANGAN: Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor (tengah) Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew (dua dari kanan), Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam (dua dari kiri) dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (kanan) ketika di majlis pecah tanah majlis berkenaan.

TAWAU: Pembangunan Tawau International Cultural Centre (TICC) di sini dilihat mampu memperkasakan lagi industri pelancongan di bandar ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan pembangunan projek berkenaan yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor pada Sabtu.

Katanya, kemudahan seumpamanya sudah pasti akan mempromosikan pertukaran budaya, memperkasakan aktiviti kebudayaan dan menjadikan pelancongan kebudayaan Tawau ke peringkat yang lebih tinggi.
 
Selain itu katanya, pengumuman dua lagi projek pembangunan berkaitan pelancongan di sini oleh Ketua Menteri adalah berita baik kepada rakyat Tawau.

“Pembangunan yang dicadangkan adalah sebuah resort terdiri daripada 30 chalet di Tawau Hills Park dan Jeti Tawau untuk tujuan pelancongan.

“Jeti ini nanti akan berkeupayaan untuk menampung kehadiran feri penumpang khusus bagi pelancong yang mahu melancong ke pulau-pulau sekitar Semporna untuk bercuti.

“Kedua-dua projek ini dan TICC sudah pasti akan memperkasakan lagi kemakmuran serta perkembangan ekonomi, ia juga akan mencipta peluang pelaburan di bandar-bandar Pantai Timur,” katanya dalam kenyataan di sini, kelmarin.

— Yap Siong Han

Exit mobile version