Site icon Sabah Baru News

Sabah miliki 1,127 masjid, rekod jumlah tertinggi di Malaysia

SIMBOLIK: Hajiji bersama tetamu jemputan lain bersama-sama menanam anak pokok kurma pada Majlis Pecah Tanah Masjid Ar-Rahman Bandar Sri Indah Tawau.

TAWAU: Sabah mempunyai sebanyak 1,127 masjid sekali gus menjadi negeri yang memiliki jumlah masjid tertinggi di Malaysia, di samping memiliki sebanyak 1,221 surau.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, mengikut rekod, di Tawau sahaja terdapat 133 masjid dengan 103 surau, berada di tempat kedua selepas Semporna yang mempunyai sebanyak 246 masjid dan surau.

Beliau berkata, walaupun Islam adalah agama rasmi negara ini, namun rakyat bukan beragama Islam bebas mengamalkan kepercayaan agama masing-masing.

“Bukan bererti kalau kita mempunyai bilangan masjid yang banyak untuk beribadah, ia sesuatu yang boleh merenggangkan keharmonian dan perpaduan di antara kaum dan juga kepercayaan di negeri Sabah amnya dan negara kita khasnya.

“Kita mesti menjadi umat Islam yang berdisiplin, mempunyai moral yang cintakan keadilan, perpaduan dan kemajuan. Ini mesti diterapkan pada diri umat Islam, supaya imej agama Islam berada di tempat yang sewajarnya.

“Jangan kita jadikan agama ini sebagai sesuatu yang boleh merosakkan hubungan ataupun tanggapan yang negatif daripada kaum-kaum lain yang bukan beragama Islam,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Masjid Ar-Rahman Bandar Sri Indah di sini pada Ahad.

Beliau berkata, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM3 juta sebagai permulaan untuk pembinaan masjid itu bagi menampung kemudahan yang tidak mencukupi di kawasan itu yang mempunyai kira-kira 10 ribu penduduk.

Hajiji turut berharap, Masjid Ar-Rahman Bandar Sri Indah yang bakal dibina itu menjadi masjid paling aktif dan berdaya saing sejajar dengan masjid-masjid sedia ada di daerah Tawau, khususnya dari segi aktiviti keagamaan, kemasyarakatan dan juga perekonomian.

“Saya berharap kerja-kerja pembinaan dapat segera dimulakan bagi memastikan masjid  baharu ini siap dibina sebagaimana yang dirancang dalam waktu yang ditetapkan,” katanya.

Hajiji berkata, masjid adalah rumah ibadah umat Islam yang mulia. Fungsi dan peranannya dalam kehidupan umat Islam sangatlah penting dan berkait rapat dengan perihal keimanan dan ketaqwaan terhadap Allah SWT, pencipta seluruh alam. 

Menurutnya, pembinaan sesebuah masjid atau surau dalam agama adalah sangat dituntut, lebih-lebih lagi di kawasan yang mempunyai penduduk yang beragama Islam. 

Beliau berkata, dalam konteks Malaysia, masjid adalah sebuah institusi yang menjadi nadi kepada aktiviti masyarakat Islam, sama ada di dalam sesebuah kampung atau pun pekan dan juga bandar, ia tidak lagi dilihat sebagai rumah ibadah semata-mata, tetapi juga sebagai pusat kemasyarakatan, keilmuan, termasuk pelbagai aktiviti sosial yang berkaitan dengan kemajuan dan pembangunan ummah.

“Misalnya, penyediaan ruang untuk program-program kelas mengaji al-Quran, kelaskelas Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah, malah ada juga yang menyediakan ruang untuk majlis-majlis kenduri kendara dan sebagainya.

“Justeru masjid kini menjadi pusat serbaguna ke arah kemajuan dan pembangunan ummah, sesuai dengan keperluan dan perkembangan semasa,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Ahli Parlimen Tawau Datuk Lo Su Fui dan keluarganya kerana bermurah hati mewakafkan tanah seluas lima ekar untuk tapak Masjid Ar-Rahman Bandar Sri Indah Tawau.

Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr.  Mohd. Arifin Mohd. Arif; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung Datuk Hamild @ Hamid Awang; dan ADUN Kukusan Rina Jainal.

TAMAT

Exit mobile version