Site icon Sabah Baru News

Maijol sambut baik pewartaan 31 Ogos sebagai Hari Sabah

Maijol berkata keputusan tersebut merupakan langkah bersejarah dan pencapaian penting yang berlaku di bawah pentadbiran Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

KOTA KINABALU:Datuk Maijol Mahap, Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bandau merangkap Ahli Majlis Tertinggi sambut baik keputusan kerajaan negeri Sabah untuk mewartakan 31 Ogos sebagai ‘Hari Sabah’.

Katanya , ini merupakan langkah bersejarah dan pencapaian penting yang berlaku di bawah pentadbiran Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Maijol menekankan kepentingan budaya dan simbolik tarikh ini.

“31 Ogos 1963 menandakan hari di mana Sabah, yang ketika itu dikenali sebagai Borneo Utara, mencapai pemerintahan sendiri daripada penjajahan British. Tarikh ini merupakan saat penting dalam perjalanan Sabah menuju penentuan nasib sendiri, sehinggalah menjadi rakan kongsi sama taraf dalam Pembentukan Malaysia pada 16 September 1963,

“Ia melambangkan perpaduan, ketabahan, dan semangat rakyat kita”, katanya.

Beliau turut menekankan peranan rakyat Sabah dalam membentuk masa depan negeri ini.

“Dengan mewartakan 31 Ogos, kita memperingati masa lalu kita dan membuka jalan untuk masa depan yang lebih cerah. Komitmen kerajaan GRS dalam memelihara sejarah kita dan merayakan perpaduan kita wajar dipuji”, tambah Maijol.

Maijol menyeru rakyat Sabah untuk turut serta dalam sambutan Hari Sabah yang pertama ini sambil merenungi perjalanan kita sebagai sebuah wilayah yang merdeka.

Beliau juga menggesa agar rakyat Sabah terus menyokong kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan kerajaan GRS kerana lebih banyak lagi kejayaan yang bakal dikecapi pada masa akan datang demi kesinambungan pembangunan, transformasi ekonomi dan kestabilan politik.

–TAMAT

Exit mobile version