Site icon Sabah Baru News

PPK Putatan disarankan ceburi bidang Agropelancongan

MESYUARAT: Arsit (duduk tengah) ketika dalam mesyuarat agung berkenaan.

PUTATAN: Ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Putatan diminta mengambil peluang menceburi bidang Agropelancongan.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan Putatan Datuk Seri Arsit Sedi berkata, setiap peserta yang mempunyai syarikat sendiri boleh memohon geran berjumlah RM200,000 untuk tujuan itu.

“Saya mahu Putatan ini memperkenalkan Agropelancongan untuk kebaikan bersama,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada Mesyuarat Agung Kali ke-9 Pertubuhan Peladang Kawasan Putatan, 2024 di sini, hari ini.

Beliau juga menjelaskan terdapat pelabur dari Dubai yang berminat melabur dengan pertubuhan itu.

Katanya, dengan kerjasama Ko-Nelayan, pihaknya mampu melaksanakan aktiviti ekport ikan ke Dubai.

“Ko-Nelayan juga bersetuju untuk mengeksport sejumlah 70 tan metrik ikan. Penternakan ikan dilakukan secara komuniti, dimana sangkar, bibit ikan dan pekerjaan akan disediakan.

“Oleh itu saya memohon agar ahli peladang di sini untuk merebut peluang ini…saya juga telah memohon kepada pihak berwajib untuk mendapatkan sebidang kawasan di Pulau Dinawan untuk tujuan ini,” katanya.

Dalam pada itu katanya, pihaknya juga mempunyai beberapa program yang boleh dimanfaatkan para ahlinya seperti naik taraf produk, penyediaan jentera, baja dan sebagainya.

Katanya, semua kemudahan ini boleh dipohon oleh ahli dan geran berkaitan akan diberikan.

“Contohnya dalam produk berimpak tinggi, kemudahan geran adalah 50-50 yang mana pihak Peladang akan menyediakan 50 peratus geran dari segi jentera, majukan produk tetapi pemohon atau syarikat ahli perlu membiayai sendiri bakinya, boleh juga memohon dengan Agrobank,” katanya.

Beliau menjelaskan antara program lain yang disediakan adalah Program Agro Perintis, Geran Usahawan Muda, Tabung Usahawan Peladang, Pemilikan Jentera dan banyak lagi.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua ahli Peladang khususnya kawasan Putatan untuk memberikan sokongan kepada calon kerajaan negeri hari ini untuk menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Ini penting bagi menentukan dan menstabilkan hala tuju Peladang kawasan Putatan di masa depan,” katanya.

Hadir sama merasmikan majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Shahelmey Yahya.

— Yap Siong Han

Exit mobile version