Site icon Sabah Baru News

DUN Sabah bentang RUU Perbekalan Tambahan 2024 bernilai RM1 bilion

Sesi fotografi Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun (duduk, kiri) bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif (berdiri, kanan) sebelum sebelum sidang DUN.

KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semalam membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan Tahun 2024 berjumlah RM1,004,195,850.

Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, semua anggaran tambahan ini adalah mustahak bagi melancarkan operasi pentadbiran Kerajaan Negeri sehingga akhir tahun 2024.

“Jumlah peruntukan tambahan bagi tahun 2024 adalah terbahagi kepada enam kategori perbelanjaan. Kategori perbelanjaan pertama ialah Caruman Kumpulan Wang Pembangunan dan Amanah iaitu sebanyak RM295 juta atau 30 peratus yang merupakan perbelanjaan tertinggi.

“Diikuti dengan Perbelanjaan Operasi sebanyak RM288 juta atau 29 peratus yang meliputi perbelanjaan penyelenggaraan infrastruktur, perbelanjaan operasi, penyelenggaraan dan pembaikan bangunan kerajaan, perkhidmatan dan pengangkutan logistik, tajaan biasiswa serta Bantuan Khas ‘One-Off’ Tiket Penerbangan Bagi Pelajar di Pusat Pengajian Tinggi Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima DUN Sabah yang ke-16, hari ini.

Beliau berkata, kategori perbelanjaan yang ketiga adalah Perbelanjaan Pentadbiran iaitu sebanyak RM173 juta atau 17 peratus yang melibatkan perbelanjaan bayaran Bantuan Khas Kewangan (Bonus) dan Gantian Cuti Rehat (GCR), Emolumen, perbelanjaan utiliti dan sewaan, serta elaun perbelanjaan sara hidup bagi melicinkan operasi pentadbiran di Kementerian dan Jabatan Negeri yang terlibat. 

Menurutnya, kategori perbelanjaan yang seterusnya adalah di bawah Peruntukan Khas yang melibatkan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kemudahan infrastruktur asas dan kemudahan awam antaranya seperti jalan raya, jeti, loji rawatan air, pertahanan tebing sungai, dewan serbaguna, stadium sukan, masjid dan pasar awam iaitu sebanyak RM101 juta atau 10 peratus. 

Manakala katanya, kategori yang ke lima iaitu Perbelanjaan Pelaburan sebanyak RM80 juta atau lapan peratus adalah bagi pembelian saham untuk menjana hasil tambahan kepada kerajaan negeri dalam bentuk dividen.

Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Sabah Ke16 Penggal Kelima 2024.

“Kategori perbelanjaan terakhir iaitu sebanyak RM64 juta atau enam peratus disyorkan bagi tujuan pemberian geran antaranya kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am untuk melancarkan pelaksanaan program yang boleh mendukung hasrat dan usaha Kerajaan dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan sosial serta kesejahteraan rakyat.

“Jumlah tertinggi iaitu sebanyak RM529 juta adalah diperuntukkan kepada Kementerian Kewangan,” katanya.

Masidi berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM295 juta atau 55.8 peratus adalah sebagai tambahan kepada Kumpulan Wang Berkanun bagi mengurangkan defisit Akaun Pembangunan yang tidak melibatkan perbelanjaan sebenar dan caruman kepada Kumpulan Wang Amanah. 

Manakala katanya, sebanyak RM124 juta atau 23.4 peratus adalah untuk membiayai pelaksanaan projek infrastruktur dan utiliti, pertahanan tebing sungai; pembinaan dan pembaikan kemudahan awam seperti masjid, pasar awam, dewan serbaguna dan stadium sukan serta perbelanjaan operasi dan pentadbiran. 

“Sebanyak RM80 juta atau 15.1 peratus pula adalah untuk Pelaburan Ekuiti, Pinjaman dan Pertukaran Kepada Geran untuk Badan Berkanun Negeri dan sebanyak RM30 juta atau 5.7 peratus bagi menampung keperluan lain seperti perkhidmatan pengangkutan dan logistik, serta penyewaan kenderaan swasta,” katanya.

Katanya, Kementerian Kerja Raya diperuntukkan tambahan sebanyak RM204.9 juta untuk membiayai perbelanjaan pembaikan dan penyelengaraan bangunan kerajaan, loji, tangki pemendapan, kontrak konsesi dan selebihnya untuk menampung perbelanjaan pentadbiran serta operasi.

Masidi berkata, sebanyak RM109.9 juta adalah diperuntukkan kepada Jabatan Ketua Menteri yang bertujuan untuk membiayai tajaan biasiswa; Bantuan Khas ‘One-Off’ Tiket Penerbangan Bagi Pelajar di Pusat Pengajian Tinggi di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan serta penyenggaraan masjid, surau, rumah anak yatim dan penyenggaraan tanah perkuburan.

“Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan pula diperuntukkan tambahan sebanyak RM55.9 juta adalah bagi membiayai penyelenggaraan sistem peparitan, pembersihan sungai dan tebatan banjir serta perbelanjaan operasi.

“Manakala, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan diperuntukkan tambahan sebanyak RM32.1 juta adalah antara lain untuk Caruman dan Bantuan kepada Pihak Berkuasa Tempatan serta peningkatan bayaran elaun Ketua-Ketua Adat,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Kementerian Belia dan Sukan yang diperuntukkan sebanyak RM31.9 juta adalah bagi tujuan menaik taraf Stadium Likas.

“Sebanyak RM12.2 juta serta tajaan kepada kontingen Sabah ke Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 Sarawak dan Sukan Para Malaysia Sarawak 2024 sebanyak RM15  juta.

“Manakala, bagi Kementerian dan Jabatan Negeri yang lain, sebanyak RM39.9 juta peruntukan tambahan adalah bagi menampung perbelanjaan antaranya Bantuan Kepada Anak-Anak Yatim dan Miskin, Tabung Rayuan Derma bagi bencana alam, tajaan kemahiran para belia serta perbelanjaan pentadbiran dan operasi,” katanya.

TAMAT

Exit mobile version