Site icon Sabah Baru News

YPNM rayu SESB tidak naikkan tarif elektrik

David melahirkan kebimbangan jika kadar tarif elektrik dinaikkan ia akan menjadi beban berganda kepada pengguna hari ini dalam keadaan banyak kos keperluan turut meningkatkan naik dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

KOTA KINABALU: Pengerusi Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM), David Chan menggesa Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) supaya tidak menaikkan kadar tarif elektrik kepada pengguna di negeri ini.


Menurut beliau, hal ini memandangkan kerajaan baru sahaja melaksanakan mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) kepada pengguna.


Beliau melahirkan kebimbangan jika kadar tarif elektrik dinaikkan ia akan menjadi beban berganda kepada pengguna hari ini dalam keadaan banyak kos keperluan turut meningkatkan naik dalam beberapa tahun kebelakangan ini.


“Kita amat berharap pihak SESB mempertimbangkan sedalam-dalamnya sebelum mengambil apa-apa langkah untuk menaikkan tarif elektrik.


“Mereka kini sedang menyesuaikan diri dengan perubahan yang dibawa oleh ICPT dan cukup terbeban dengan pelbagai kos lain sehari-hari.


“Jika kita mahu membantu rakyat dan memastikan kehidupan mereka ke arah lebih baik, persatuan memohon agar sebarang keputusan menaikkan tarif elektrik ditangguhkan dahulu,” katanya.


Beliau mengulas kenyataan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bahawa Kementerian tersebut perlu mengkaji tarif asas elektrik di Sabah bagi mengurangkan kebergantungan SESB kepada subsidi daripada Kerajaan Persekutuan.


Menurut PETRA usaha kementerian itu bagi memastikan SESB tidak lagi bergantung kepada sokongan tarif subsidi daripada Kerajaan Persekutuan dan reserve margin mencapai 30 peratus menjelang tahun 2030.


Mengulas lanjut, David berkata, pihaknya berpendapat perlunya untuk menyeimbangkan kesihatan kewangan SESB tetapi pada masa sama perlu menjaga kesejahteraan ekonomi pengguna.


“Kita merayu supaya kebajikan rakyat diberi keutamaan dan rakyat diberi tempoh tertentu agar kehidupan mereka tidak terbeban dengan pelbagai kenaikan kos lain,” katanya. oleh 

— TAMAT

Exit mobile version