Site icon Sabah Baru News

Lima pindaan RUU diluluskan DUN Sabah

Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif membentangkan kelima-lima RUU berkenaan termasuk RUU Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Pindaan) 2024, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Pindaan) 2024, RUU Enakmen Zakat dan Fitrah (Pindaan) 2024, RUU Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Pindaan) 2024, dan RUU Enakmen Wakaf (Negeri Sabah) (Pindaan) 2024.

KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah telah meluluskan pindaan lima Rang Undang-Undang (RUU) oleh Speaker DUN Sabah Datuk Seri Panglima Kadzim M Yahya.

Beliau meluluskan kesemua pindaan RUU berkenaan selepas dibahaskan dan mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di sini pada Khamis.

Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif membentangkan kelima-lima RUU berkenaan termasuk RUU Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Pindaan) 2024, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Pindaan) 2024, RUU Enakmen Zakat dan Fitrah (Pindaan) 2024, RUU Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Pindaan) 2024, dan RUU Enakmen Wakaf (Negeri Sabah) (Pindaan) 2024.

Menurutnya, pindaan dalam RUU Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2024 adalah bertujuan meminda takrif tertentu bagi istilah tertentu dalam subseksyen 2(1) supaya selaras dengan istilah masa kini yang digunakan dalam undang-undang yang berkaitan termasuk pindaan lain yang berkaitan dengan perubahan proses rayuan dengan wujudnya Mahkamah Utama Syariah.

Katanya, RUU itu melibatkan pindaan 19 fasal sahaja antaranya meminda dalam teks Bahasa Inggeris dengan menggantikan perkataan ‘Islamic Law’ dengan perkataan Hukum Syarak.

Beliau berkata, pindaan bagi Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2024 melibatkan empat fasal dan RUU Enakmen Zakat dan Fitrah (Pindaan) 2024 dua fasal.

Selain itu jelasnya, RUU Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Pindaan) 2024 melibatkan empat fasal dan RUU Enakmen Wakaf (Negeri Sabah) (Pindaan) 2024 melibatkan dua fasal.

TAMAT

Exit mobile version