Site icon Sabah Baru News

Sabah terima lebih RM33 juta tingkatkan keterjaminan makanan

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyaksikan penyerahan replika cek daripada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu kepada Timbalan Ketua Menteri I, yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI), Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Gapari Kitingan, ketika mengadakan kunjungan hormat di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya pada Jumaat. Turut hadir, Timbalan Menteri KPKM, Datuk Arthur Joseph Kurup dan Pembantu Menteri MAFFI, Datuk Hendrus Anding (kiri).

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menyaksikan penyerahan replika cek berjumlah RM33,593,226 daripada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu kepada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, pada Jumaat.

Dalam kunjungan hormat di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya itu turut dihadiri Timbalan Menteri KPKM, Datuk Arthur Joseph Kurup.

Peruntukan itu adalah untuk melaksanakan usaha meningkatkan keterjaminan makanan di negeri ini, antaranya pemerkasaan ternakan bersepadu ruminan dan pemulihan sawah-sawah padi terbiar.

Sementara itu, Hajiji turut merakamkan terima kasih atas keprihatinan kerajaan Persekutuan menerusi KPKM dalam membantu usaha kerajaan negeri meningkatkan keterjaminan makanan di negeri ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut komited meningkatkan tahap sara diri (SSL) hasil pertanian terutamanya padi termasuk menghidupkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah selain melaksanakan beberapa inisiatif bagi meningkatkan SSL beras daripada 22 peratus tahun ini kepada 31 peratus pada tahun 2025.

Katanya, ini termasuklah memberi penekanan kepada pembangunan padi tanah kering iaitu penanaman padi bukit, pada tahun ini.

— TAMAT

Exit mobile version