Site icon Sabah Baru News

Program TCG pupuk semangat positif, promosi aktiviti riadah interaktif

Pengerusi Smart Sabah Datuk Razali Razi(duduk tiga dari kanan) berkata, program seumpama itu juga dapat memberi ruang kepada penggemar TCG khususnya di Sabah untuk berkumpul dan berhibur melalui hobi masing-masing.

KOTA KINABALU : Penganjuran program ‘Tabletop Collectible Cards and Game’ (TCG) mampu memupuk semangat yang positif dalam kalangan masyarakat khususnya golongan muda selain mempromosikan aktiviti riadah interaktif.

Pengerusi Smart Sabah Datuk Razali Razi berkata, program seumpama itu juga dapat memberi ruang kepada penggemar TCG khususnya di Sabah untuk berkumpul dan berhibur melalui hobi masing-masing.

“Program yang sangat baik dan baru bagi saya, tetapi sebenarnya sudah lama berlaku.  Dia bersifatkan hobi tapi kita lihat dia dikumpulkan dalam satu suasana yang positif bagi membentuk satu perhubungan yang sihat.

“Sebagai orang bekeluarga, kadang-kadang kita tidak faham dengan kehendak anak-anak tetapi melalui aktiviti ini, kita nampak apakah nilai dan budaya yang dibawa dan kita tengok nilai dia sangat-sangat baik dan positif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan seterusnya menyampaikan hadiah kepada pemenang sempena penganjuran ‘The TCG Event’ di Kota Kinabalu semalam.

Razali berkata, aktiviti seumpama itu juga kini semakin menarik perhatian termasuk penganjuran e-Sport yang telah mendapat tempat di temasya Sukan Sea selain berjaya melahirkan e-Gamers bagi mewakili negeri.

“Mungkin ramai yang belum faham, tapi kita mengharapkan dengan adanya bentuk program ini, ia mampu melahirkan satu industri yang baik kepada komuniti yang berminat dengan hobi itu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur Chang Chee Ken berkata, beliau berterima kasih kepada semua pihak yang bersama-sama menjayakan program berkenaan.

Katanya, lebih 200 peserta yang menyertai program berkenaan adalah datang dari pelbagai daerah seperti Sandakan, Papar, Pitas dan banyak lagi.

“Saya berharap program seumpamanya boleh dikembangkan lebih luas ke daerah seperti Tawau dan Sandakan di masa hadapan agar hobi seumpamanya boleh dinikmati bersama golongan muda dari kawasan berkenaan.

“Penganjuran ini hanya berbentuk kecil sahaja, berbanding acara rasmi seperti di Kuala Lumpur yang mampu mengumpulkan sejumlah 700 peserta. 

“Komuniti TCG sebenarnya sangat besar dan program seumpamanya berpotensi diiktiraf sebagai salah satu e-Sport di peringkat lebih tinggi dalam dan luar negara,” katanya.

— SM

Exit mobile version