Site icon Sabah Baru News

KPDN digesa ambil langkah penguatkuasaan harga bahan binaan semakin meningkat – Masiung

The Kuamut Assemblyman said that the situation could affect the property market in Sabah, causing it to rise between 10 and 15 per cent.

KUALA LUMPUR: Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), Datuk Masiung Banah menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sarah Hidup (KPDN) mengambil langkah penguatkuasaan khususnya terhadap harga bahan binaan yang semakin meningkat di pasaran sekarang.

Beliau berkata, nilai pasaran hartanah yang sedia mahal di Sabah dijangka akan meningkat pada suku kedua tahun ini susulan penyasaran harga baharu diesel di Semananjung Malaysia.

“Saya bimbang jika tiada langkah penguatkuasaan kerajaan terhadap kenaikan harga bahan binaan sekarang, maka pasaran hartanah di Sabah boleh melonjak antara 10 hingga 15 peratus.

“Kenaikan harga bahan mentah itu dipengaruhi sentimen kenaikan kos pengangkutan dalam sektor hartanah yang tidak tersenarai menerima sebarang subsidi tunai kerajaan.

“Harga bahan binaan di Semenanjung Malaysia telah bertambah antara 3 hingga 5 peratus. Ini sudah tentu penghantaran ke Sabah melalui pengangkutan laut akan wujud harga baharu lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kos logistik melibatkan proses pertukaran kapal laut di Pelabuhan Klang turut mempengaruhi kenaikan harga bahan mentah itu.

Wakil Rakyat Kuamut itu kini dalam rangka lawatan kerja selama tiga hari di Kuala Lumpur.

Indeks kos bahan binaan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSIM) pertengahan bulan lalu menunjukkan harga papan lapis, besi dan simen mencatat kenaikan sehingga 1.7 peratus.

Justeru, Masiung berkata, kos pengangkutan bagi Sabah dan Labuan adalah lebih tinggi berbanding di Semenanjung Malaysia dan ini akan turut mendorong kepada kenaikan harga bahan mentah di Sabah dalam sektor pembinaan.

Katanya, walaupun kerajaan Madani telah memberi jaminan harga bahan mentah di Sabah dan Sarawak tidak naik berikutan penyasaran harga diesel di Semenanjug Malaysia, tapi apa yang berlaku sekarang kenaikan harga barangan tidak terkawal.

Sehubungan dengan itu, beliau menggesa pihak KPDN tidak hanya sekadar memantau tapi mereka harus turun ke lapangan untuk mengesan setiap aduan.

— TAMAT

Exit mobile version