Site icon Sabah Baru News

Sail Malaysia Passage to East Yacht Rally 2024 berlabuh di Tuaran

ALBUM: Jasnih merakamkan gambar kenangan bersama tetamu kehormat lain selepas melancarkan majlis berkenaan.

TUARAN: Program Sail Malaysia Passage to East Yacht Rally 2024 berlabuh di Tuaran buat kali pertama sejak diwujudkan pada 2005 dan ini satu petanda baik dalam usaha meningkatkan sektor pelancongan di sini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, pihaknya berbesar hati kerana program itu telah kembali ke Sabah sekali lagi.

“Kami gembira apabila dimaklumkan bahawa lebih 20 buah kapal layar berjaya berkumpul dan berlabuh di Tuaran sejak Rabu lepas.

“Walaupun Ini adalah kali pertama anda berkumpul di Tuaran, saya telah dimaklumkan bahawa Sail Malaysia telah datang ke Sabah sejak 2009, dengan lebih 400 kapal layar dari seluruh dunia telah melawat Sabah.

“Program ini memang menarik, sejak diwujudkan pada 2005, inisiatif Sail Malaysia di bawah naungan Persatuan Pelancongan Perkapalan dan Marin Malaysia berjaya menarik lebih 1,400 kapal layar dari 45 negara ke Malaysia.

“Ini telah menjana pendapatan ekonomi lebih setengah bilion Ringgit Malaysia. Syabas sekali lagi kepada Persatuan Pelancongan Marin Pelayaran Malaysia kerana mempromosikan pelancongan nautika Malaysia dan mengekalkan pengembaraan pelayaran sesuai dengan slogan Discover Malaysia by Sea!,” katanya ketika mengalu-alukan kehadiran peserta Sail Malaysia Passage to East Yacht Rally 2024 di Jeti Anjung Gayang, Jalan Sulaman di sini, pada Jumaat.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd, Datuk Jasnih Daya.

Hajiji turut mengalu-alukan peserta dari Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, United Kingdom, Portugal, Hong Kong, Afrika Selatan, Indonesia, Thailand, Kanada dan negeri-negeri lain di Malaysia.

“Pada minggu hadapan, semasa anda mengembara ke Kudat, Sandakan, Lahad Datu, Semporna dan Tawau…saya harap anda juga akan menikmati daya tarikan di Kepulauan Penyu, Sungai Kinabatangan dan Sipadan.

“Nikmatilah pemandangan dan tempat-tempat menarik serta banyak lagi. Walaupun ramai diantara anda mungkin sudah biasa dengan Sabah, banyak lagi yang boleh anda lihat dan nikmati, tidak kurang juga melalui laut,” katanya.

Hajiji turut berkongsi bahawa Sabah adalah negeri kedua terbesar di Malaysia, mempunyai pelbagai keindahan untuk ditawarkan dari lautan yang indah sehinggalah ke gunung yang tinggi.

MENARIK: Sebahagian kapal layar yang berlabuh di Tuaran sejak Rabu lepas.

“Hutan hujan di Sabah juga berusia lebih 130 juta tahun dan adalah di antara yang tertua di dunia. National Geographic meraikan kepelbagaian biologi negeri ini.

“Gunung Kinabalu simbol ikonik kita berdiri tegak bukan hanya sebagai bukti keindahan alam semula jadi Sabah, tetapi sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO yang dikagumi di peringkat global.

“Sabah juga kini diiktiraf sebagai tapak UNESCO Triple Crown yang ketiga di dunia. Sabah secara rasminya menduduki tempat sebagai Destinasi Geo-pelancongan Global.

“Hampir 400 daripada 878 pulau Malaysia ditemui di negeri ini, Sabah dikenali berjuta-juta pengunjung, sebagai destinasi pantai dengan pemandangan matahari terbenam yang mempesonakan,” katanya.

Selain itu katanya, warisan budaya Sabah juga turut menawan hati setiap pengunjung yang melawat negeri ini.

“Warisan budaya kami mempunyai lebih daripada 30 kumpulan etnik yang berbeza dengan 217 kumpulan sub-etnik, masing-masing dengan tradisi dan bahasanya. 

“Namun, di tengah-tengah kepelbagaian landskap budaya ini, perpaduan berkembang subur, menjadikan hampir 3.5 juta penduduk kita bersatu padu secara harmoni,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada Sail Malaysia, Tourism Malaysia, Taman-Taman Sabah, Pelancongan Sabah, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan semua pihak berkuasa, agensi, organisasi swasta dan individu bersama-sama dalam menjayakan acara itu.

— TAMAT

Exit mobile version