Site icon Sabah Baru News

ADUN Balung sedia bantu pembinaan semula rumah mangsa kebakaran

BANTUAN: Hamild (tiga kiri) ketika menyampaikan bantuan kepada semua mangsa terlibat.

TAWAU: Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung bersedia memberikan bantuan bahan binaan sekiranya mangsa kebakaran di Kampung Kinabutan Kecil mahu membina semula rumah mereka.

ADUN Balung, Datuk Hamild Awang berkata, pihaknya akan cuba membantu sedaya upaya bagi meringankan sedikit bebanan yang ditanggung oleh semua ketua isi rumah (KIR) yang terlibat.

Katanya, kerajaan negeri juga akan memberikan bantuan sewajarnya kepada semua KIR terlibat seperti yang dilakukan sebelum ini.

“Sekiranya mangsa berkenaan memenuhi syarat dan layak, kerajaan negeri mempunyai peruntukan khas bagi membantu menyediakan rumah seperti Rumah Mesra SMJ.

“Saya yakin kerajaan akan berusaha membantu semua rakyat di negeri ini terutamanya mereka yang ditimpa musibah seperti kebakaran ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan bantuan dan melawat mangsa kebakaran di Pusat Pemindahan Sementera (PPS), di sini, semalam.

LAWAT: Hamild berkesempatan melawat tapak kebakaran di kampung berkenaan.

Menurutnya, Pejabat ADUN Balung sudah lebih awal turun padang menyampaikan bantuan sejak hari pertama berlakunya insiden kebakaran itu pada Rabu lalu.

“Bantuan susulan yang diberikan hari ini berupa alat peralatan memasak, bakul makanan dan wang tunai kepada setiap KIR.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kerana menjayakan majlis penyampaian ini,” katanya. oleh 

— Hamzah Sanudin

Exit mobile version