Site icon Sabah Baru News

Kampung berisiko kebakaran perlu pili bomba: Nizam

BANTUAN: Nizam menyampaikan bantuan wang tunai kepada semua mangsa kebakaran.

TAWAU: Setiap kampung di daerah ini perlu disediakan pili bomba bagi memudahkan pasukan bomba menjalankan operasi dan mencari sumber air sekiranya berlaku insiden kebakaran di kawasan berkenaan.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, perkara itu sudah dikemukakan pada Mesyuarat Tindakan Daerah sebelum ini.

Katanya, ia dibuat selepas mengambil kira kemudahan itu sangat penting diletakkan di kawasan kampung-kampung terutamanya yang berisiko kebakaran.

“Kita tidak dapat melaksanakannya sebelum ini kerana beberapa kekangan, namun ia pasti dibangkitkan semula pada mesyuarat akan datang.

“Saya berharap pili bomba ini dapat disediakan di setiap kampung berisiko terlebih dahulu supaya pasukan bomba mudah menjalankan operasi pemadaman,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran Kampung Kinabutan Kecil di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sini semalam.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, pihaknya sangat bersimpati dengan semua mangsa yang terlibat.

PRIHATIN: Nizam ketika memberikan motivasi dan nasihat kepada semua mangsa di PPS.

Menurutnya, kebanyakkan mangsa tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan harta benda masing-masing disebabkan kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi.

“Walaupun kawasan kebakaran ini berada di DUN Balung, tetapi kebanyakan mangsa terbabit adalah orang yang saya kenal dan sangat bersimpati dengan mereka.

“Justeru, saya terpanggil untuk menyampaikan bantuan peribadi kepada semua 11 KIR bagi meringankan beban mereka,” katanya.

Beliau berkata, semua mangsa yang terlibat juga dinasihatkan supaya lebih berhati-hati sekiranya mahu membina semula rumah mereka.

“Saya menasihatkan supaya mereka dapat membina semula rumah dengan lebih teratur dan mengikut spesifikasi yang betul supaya tidak berlaku kebakaran kali kedua.

“Semoga kejadian ini dapat dijadikan iktibar kepada semua mangsa dan ada hikmah yang baik akan diberikan oleh Allah SWT,” katanya. oleh 

–Hamzah Sanudin

Exit mobile version