Site icon Sabah Baru News

Generasi muda diminta manfaatkan teknologi media sosial

ALBUM: Rina (lima kanan) bergambar bersama semua peserta bengkel berkenaan.

TAWAU: Masyarakat di daerah ini  terutamanya generasi muda perlu mengambil peluang dengan teknologi media sosial yang semakin berkembang ketika ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan Rina Haji Jainal berkata, aplikasi media sosial mempunyai banyak sisi baik sekiranya digunakan dengan betul.

Katanya, aplikasi TikTok misalnya yang mendahului senarai kegemaran pengguna masa kini, turut membantu warga net menyalurkan maklumat dan menyerlahkan konten kreativiti yang mereka hasilkan.

“Media sosial bukan hanya digunakan oleh golongan muda, malah generasi berusia juga turut memiliki aplikasi media sosial di telefon mereka.

“Ia menunjukkan penggunaan aplikasi media sosial popular sudah menjadi trend ketika ini bukan sahaja dalam negara, bahkan seluruh dunia,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan Sabah berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Bengkel Penerbitan Asas’Content Creator’ Media Sosial TikTok, di sini, semalam.

Menurutnya, aplikasi media sosial seperti TikTok dapat memberi peluang kepada pengguna menyerlahkan bakat dan menyampaikan maklumat kepada orang ramai.

Katanya, media sosial juga menjadi penjana sumber pendapatan kerana jaringan yang luas membolehkan pengguna atau usahawan memasarkan produk mereka.

“Namun, untuk meraih pendapatan yang lumayan seperti pempengaruh popular sedia ada memerlukan kandungan konten yang menarik, segar dan terkini.

“Justeru, dengan adanya bengkel media sosial TikTok yang dianjurkan ini mampu memberikan peserta idea yang bernas untuk menjadi pempengaruh popular pada masa akan datang,” katanya.

Mengulas lanjut, Rina berkata, usaha Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menganjurkan bengkel ini sangat bertepatan serta perlu dipuji.

Katanya, inisiatif ini mampu memberikan peluang yang sangat baik kepada masyarakat di daerah ini khususnya belia untuk menceburkan diri dalam dunia pempengaruh media sosial.

“Saya beranggapan semua peserta kali ini sangat bertuah kerana mendapat ilmu pengetahuan daripada fasilitator yang mahir termasuk pempengaruh popular.

“Harapan saya bengkel ini dapat diteruskan dan diperluaskan supaya lebih ramai lagi belia di daerah ini mahir menggunakan aplikasi media sosial,” katanya.

Turut hadir, Presiden PTVM Datuk Jurey Latif Mohd Rosli; Pegawai Eksekutif Kanan Latihan Industri FINAS, Muhamad Rizal Mat Yasin dan Pengerusi PTVM Sabah, Muktar Paduai. oleh 

— Hamzah Sanudin

Exit mobile version