Site icon Sabah Baru News

Perkasa jentera parti untuk hadapi cabaran: Masiung

TERIMA KASIH: Masiung (dua kanan) menerima cenderahati daripada Timbalan Ketua PDM Simpang Entilibon, Naim Kimbigang.

TONGOD: Jentera akar umbi parti harus diperkasakan agar mampu berhadapan dengan pelbagai situasi dan cabaran.

Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah berkata, beliau mahu pemimpin akar umbi beri kefahaman kepada masyarakat tentang hala tuju parti menerusi konsep Sabah Maju Jaya (SMJ).

Beliau berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat berkelompok Gagasan Rakyat bagi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Simpang Entilibon, kelmarin.

“Jangkar Gagasan Rakyat harus dipertahankan, jangan diperlekehkan … kerana setiap langkah yang kita tunjangi akan diukur oleh segenap lapisan rakyat.

” Tidak kira pemimpin Pemuda, Wanita atau Beliawanis, mereka perlu menyampaikan mesej kerajaan kepada rakyat sambil memperbetulkan isu negetif yang ditaburkan oleh pembangkang,” ujarnya.

Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata, parti-parti pembangkang di Sabah yang sebelum ini pernah berada dipuncak kuasa, dan kini sentiasa menabur fitnah.

Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kuamut juga mahukan pemimpin peringkat bahagian supaya tidak berdiam diri, sebaliknya menangkis tomahan dan fitnah pemimpin pembangkang.

Menurutnya, pemimpin pembangkang yang mahu berkuasa sanggup melakukan apa sahaja termasuk memfitnah parti dan kerajaan pada hari ini melalui platform media sosial.

“Mereka (pembangkang) sanggup mengupah penulis untuk menyebar fitnah terhadap kita melalui laman sosial.

“Di sinilah peranan pemimpin bahagian untuk menjelaskan kepada rakyat dan membetulkan fitnah yang dilemparkan kepada parti dan kerajaan negeri,”katanya.

— TAMAT

Exit mobile version