Site icon Sabah Baru News

Tangani isu projek ‘sakit’: Hajiji

Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor chairing the MTPNg meeting

KOTA KINABALU: Jabatan dan agensi pelaksana diarahkan supaya menangani segera isu yang menghalang pelaksanaan projek pembangunan di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, terdapat 1,218 projek sedang dilaksanakan di Sabah tetapi 25 daripadanya dikategorikan sebagai projek yang ‘sakit’.

Katanya, projek ‘sakit’ terbabit termasuklah projek berkaitan tenaga, air, elektrik, sekolah, kemudahan kesihatan dan kemudahan lain yang tidak disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

“Kesemua projek ini adalah kepentingan awam, justeru segala usaha perlu diambil untuk memberi keutamaan dan memastikan ia siap,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Pada mesyuarat itu, Hajiji turut diberi taklimat mengenai penubuhan Jawatankuasa Khas Bersama Negeri-Persekutuan yang ditugaskan untuk memantau projek pembangunan di Sabah, terutamanya projek bermasalah.

Pada masa sama, pihak MTPNg diberi taklimat oleh Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) mengenai program pembasmian miskin tegar yang menjelaskan Sabah berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran sifar miskin tegar.

Hajiji berkata, penting bagi kerajaan negeri melalui Sekretariat SMJ untuk memperkenalkan intervensi bagi mengurangkan isu miskin tegar di negeri ini.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau menggesa agensi pelaksana Persekutuan dan negeri memaksimumkan penggunaan RM6.6 bilion yang diperuntukkan oleh kerajaan Persekutuan di bawah Bajet 2024 untuk pembangunan di Sabah tahun ini.

Menurutnya, peruntukan itu meliputi pelbagai program pembangunan termasuk tebatan banjir, pemulihan Sungai Tuaran, pembinaan sekolah baharu, membaiki sekolah usang dan membina klinik baharu serta premis Tamu Desa.

“Semua jabatan dan agensi di Sabah perlu menggunakan sepenuhnya peruntukan dan penurunan kuasa bagi agensi teknikal negeri untuk melaksanakan projek pembangunan yang menelan belanja di bawah RM50 juta bagi memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

“Agensi pelaksana Persekutuan dan negeri perlu menjalin hubungan erat sesama mereka selain meningkatkan prestasi dan kualiti projek untuk manfaat rakyat.

“Kita sudah melepasi pertengahan tahun, justeru saya mahu semua pihak meneliti dan menyemak prestasi terhadap sasaran masing-masing dari segi pelaksanaan projek pembangunan Persekutuan dan negeri,” jelasnya.

Setakat 15 Julai tahun ini, Sabah membelanjakan RM1.791 bilion atau 35.46 peratus berbanding prestasi negara sebanyak 43.45 peratus di bawah Rolling Plan Keempat (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Mesyuarat itu dihadiri semua menteri kabinet negeri, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

— TAMAT

Exit mobile version