Site icon Sabah Baru News

Isu kemiskinan di Sabah: Bung mengaku tidak celik?

TAJUK tulisan ini, bukan bermksud Datuk Bung Moktar Radin mengaku dengan ucapan atau kata-kata, akan tetapi maksud daripada ucapan/hujah yang beliau uar-uarkan/spin/pasarkan, BAHAWA RAKYAT DAN NEGERI SABAH MISKIN kerana diperintah PARTI TEMPATAN.

Selain itu, Bung juga mengaku bahawa beliau tidak tahu apa yang dicakapkan benar atau tidak yang penting dapat tepukan dan dilaporkan oleh wartawan yang juga tidak celik maklumat atau data benar atau tidak.

Data kemiskinan disimpan oleh Jabatan Statistik Negara. Berpandukan rekod statistik, Sabah berada pada urutan pertama antara tahun 1994-sekarang; ketiga (1985-1994); kelima (1967-1985).

Semasa parti tempatan memerintah Sabah, memang betul daripada urutan ke-5 ke urutan ke-3 (semakin kecil angka semakin miskin), akan tetapi sebaik Parti Umno menerajui kerajaan terus naik ke urutan pertama, dan pada masa ini Kerajaan Negeri hari ini sedang selesaikan menerusi berbagai kaedah dan strategi.

Untuk rekod, mana lah tahu Bung masih ada kemampuan membaca, bahawa urutan kerajaan bagi negeri Sabah adalah tahun 1967-1976: Parti Usno; 1976-1985: Parti Berjaya; 1985-1994: Parti PBS dan 1994-2018: Umno/BN; 2018-2020: Warisan-PH; 2020-2023: GRS-Umno/BN; 2023-kini: GRS-PH Plus.

Berpandukan pada rekod, adalah TIDAK benar, bahawa Sabah jadi miskin kerana diperintah parti tempatan, melainkan yang memiskinkan Sabah adalah pemerintahan parti Malaya.

Kemiskinan bersifat “stubborn” (degil) sukar ditangani kerana terikat dengan status kehidupan semasa antara lain faktor kos sara hidup, peluang pekerjaan/perniagaan, infrastruktur, aktiviti ekonomi dan isu-isu semasa yang berkesan pada kehidupan harian seperti bencana penyakit, bencana alam dan isu-isu global.

Menangani isu kemiskinan, kerajaan off the day perlu menggunakan kaedah meningkatkan hasil negeri, meningkatkan nilai perdagangan, menarik sebanyak mungkin pelabur, menganeka ragam aktiviti ekonomi, selain menyelesaikan isu-isu infrastruktur termasuk kemudahan asas seperti bekalan air bersih, bekalan elektrik dan jalan-jalan perhubungan.

Kerana kesadaran mengenai kemiskinan dan kemunduran, kerajaan hari ini telah melancarkan Pelan Pembangunan dan kemajuan iaitu HALATUJU SABAH MAJU JAYA. Menerusi halatuju tersebut telah dibutirkan tindakan/strategi yang dibahagi-bahagikan menerusi berbagai teras berpandukan pada keboleh kelaksanaan yang disesuaikan dengan sumber-sumber negeri baik di daratan mahupun lautan.

Apa yang dilaksanakan Kerajaan hari ini menerusi halatuju SABAH MAJU JAYA sedang berada pada landasan tepat dan betul, seperti mana dibuktikan menerusi peningkatan hasil negeri dalam tempoh tiga tahun berturut mencipta rekod dan untuk tahun 2023 hampir mencecah RM8bilion, nilai dagangan melepasi RM100 bilion, dan rezab kewangan RM8bilion.

Menyelesaikan isu-isu kemiskinan perlu masa dan kewangan, demikian juga infra yang mendokongnya, dan semua itu dimaklumi para pemimpin Kerajaan Sabah hari ini, dan penulis yakin, sebelum tahun 2030, Sabah akan lepas landas (take off) menunju negeri maju selari dengan kemajuan di negeri jiran Sarawak.

Data atau rekod pencapaian Kerajaan Sabah hari ini dengan sendiri menjawab putar belit Bung Moktar dan pemimpin Umno, yang masih cuba mempengaruhi rakyat untuk menyokong mereka dan menolak kerajaan yang diterajui PARTI TEMPATAN.

*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau .

Exit mobile version