Site icon Sabah Baru News

Hajiji bentuk dimensi baharu ekonomi Sabah

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor semasa melancarkan SIBEC 2024 di Menara Kinabalu di sini.

EKONOMI biru bakal membawa dimensi baharu ekonomi Sabah.

Inilah yang bakal terungkai pada  Persidangan Antarabangsa Ekonomi Biru Sabah (SIBEC 2024) yang dijadualkan di Kota Kinabalu pada September depan.

Persidangan itu dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Undangan kepada Anwar disampaikan sendiri oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Hj Noor, dalam pertemuan empat mata seusai Mesyuarat Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri di Putrajaya, minggu lepas.

Hajiji ketika mengadakan pertemuan dengan Anwar di Putrajaya.Dalam pertemuan ini, Hajiji menyampaikan undangan kepada Anwar untuk merasmikan persidangan ekonomi biru di Kota Kinabalu.

Ekonomi biru — sesuatu yang baharu — merupakan hamparan potensi alam dari khazanah laut yang luar biasa mega sifatnya. 

Penerokaannya merupakan cetusan idea kerajaan negeri sebagai inisiatif baharu mempertingkatkan ekonomi rakyat serta hasil negeri.

Belum pernah terjangkau sejak sekian lama, Hajiji merintis usaha baharu ini dalam rangka mempelbagai dan memperkasa sumber ekonomi negeri, berpaksi hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diperkenalkannya.

Ini dilakukannya kerana memikir kepentingan masa depan rakyat dan negeri dalam mendepani cabaran pasang-surut ekonomi global.

Bagi Hajiji, Sabah tidak boleh hanya bergantung kepada dagangan sumber daya sedia ada seperti kelapa sawit, minyak dan gas dalam membangunkan ekonomi negeri, sebaliknya perlu inovatif mempelbagai dan membangunkan sumber ekonomi yang baharu.

Di sinilah lahirnya idea penerokaan ekonomi biru sebagai prospek baharu.

Ia terdiri daripada empat komponen utama, iaitu penuaian sumber hidup (makanan laut dan bioteknologi marin), pengekstrakan sumber bukan hidup, penjanaan sumber baharu (mineral, tenaga dan air tawar), komersil dan perdagangan dalam dan sekitar lautan.

Selain itu, turut tersenarai ialah pengangkutan dan perdagangan, pelancongan dan rekreasi serta penyerapan karbon, perlindungan pantai dan pelupusan sisa.

Terdapat 14 industri dalam empat komponen utama, antaranya akuakultur, perikanan, farmaseutikal, kimia, minyak dan gas, tenaga boleh diperbaharui, perkapalan, karbon biru dan perlindungan serta pemulihan habitat.

Mengambil kira kedudukan geografi Sabah sebagai negeri maritim, dengan kira-kira 1,000km pantai dipagari laut, ekonomi biru tidak syak lagi bakal menjadi pengubah keadaan ekonomi Sabah dalam jangka panjang.

Ini kerana sumbernya lestari dan tidak akan pernah pupus biarpun ratusan tahun lamanya.

Lebih penting dari itu, pembangunan ekonomi biru akan meningkatkan taraf hidup rakyat serta mencipta pekerjaan sambil memelihara ekosistem marin Sabah.

Kerajaan negeri menganggarkan sektor ini berpotensi manjana lebih 16,200 peluang pekerjaan.

Untuk rekod pada April lepas, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah turut meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Penukaran Tenaga Haba Lautan (OTEC) 2024, yang memberi laluan bagi pembangunan OTEC sebagai sumber tenaga baharu dan sebagai salah satu inisiatif utama di bawah ekonomi biru.

Sebelum itu pada September tahun lepas, Hajiji mengetuai delegasi ke Sidang Kemuncak Global Ekonomi dan Teknologi China (GCET) di Shenzhen dan mempelawa pelabur China meneroka potensi ekonomi biru bagi sektor pemprosesan makanan.

Hakikatnya, pembangunan ekonomi biru ini bakal membawa lonjakan paradigma ekonomi Sabah dalam masa yang tidak lama lagi.

Yang penting kajian pembangunannya mestilah dijalankan secara komprehensif — justeru pertemuan pada SIBEC 2024 yang bakal menghimpunkan lebih 2,000 peserta itu, bakal menjadi `turning point’ ekonomi Sabah daripada landskap tradisional sejak sekian lama.

*Lichong Angkui ialah seorang wartawan veteran Sabah.Beliau juga merupakan Ketua Pengarang Utusan Borneo. Penulisan ini berdasarkan pandangan beliau sebagai pemerhati politik yang berfikir di luar kotak.
Exit mobile version