Site icon Sabah Baru News

Penyatuan pelihara budaya tradisi, tarik minat generasi muda

Menteri Sains Teknologi Dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif penyerahan sumbangan kewangan di Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Membakut 1446H/2024M di Masjid Nur Karim Kampung Mawao di sini pada Jumaat.

MEMBAKUT: Bagi menarik minat masyarakat khususnya golongan muda terhadap selawat, marhaban dan berzanji, satu pendekatan akan dilaksanakan bagi mencapai usaha itu.

Menteri Sains Teknologi Dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, satu bentuk penyatuan akan ditubuhkan bagi memastikan kumpulan masing-masing dapat bertukar fikiran sekali gus bersilaturahim bagi memelihara tradisi itu yang semakin dilupakan.

Katanya, setiap masjid mempunyai kumpulan kompang, marhaban dan selawat sendiri masing-masing namun belum ada satu platform bagi menyatukannya.

Justeru jelasnya, sudah tiba masanya ia disatukan bagi mengembangkan bakat setiap kumpulan sekali gus menarik lebih ramai penyertaan daripada generasi muda.

Selain usaha untuk menyatukan kumpulan terlibat, Arifin juga merancang untuk mengundang beberapa tokoh-tokoh terkenal dalam bidang selawat, marhaban dan kompang bagi mengembangkan lagi bakat dalam kalangan masyarakat.

Menyedari budaya itu semakin ditinggalkan generasi muda hari ini, justeru usaha-usaha bersesuaian dilaksanakan bagi menjadikan ia sebagai pilihan untuk golongan muda sekali gus memastikan budaya itu terus terpelihara.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Membakut 1446H/2024M di Masjid Nur Karim Kampung Mawao di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut berkata, antara pengisian sambutan yang diadakan kali ini adalah Khatam Al-Quran Perdana, yang melibatkan dua daerah iaitu Bongawan dan juga Membakut.

Menurutnya, tadarus dan khatam al-Quran bukan sahaja dilaksanakan setiap kali menjelang hari kebesaran Islam tetapi diadakan setiap tiga bulan, sejak dua tahun lepas dan mendapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada masyarakat Islam setempat.

Selain itu, pihaknya dalam perancangan untuk mengundang tokoh agamawan iaitu Ustaz Abdul Somad bagi berkongsi ilmu dengan masyarakat Islam di Membakut pada September ini dalam satu program agama.

— Kenneddy Corlleus

Exit mobile version