Site icon Sabah Baru News

Hajiji beri peluang Ahli Dewan Belia Sabah santuni masyarakat

SERAH: Ismail (empat kanan) menyaksikan penyampaian sumbangan daripada Khairul (tiga kiri) kepada Yusdi.

TAWAU: Inisiatif kerajaan negeri memberikan peruntukan kepada semua Ahli Dewan Belia Sabah dilihat dapat memberikan peluang kepada belia menyantuni masyarakat di kawasan masing-masing.

Pegawai Khas Ketua Menteri Sabah, Ismail Sabran berkata, peruntukan yang diberikan itu menandakan kerajaan negeri mengiktiraf peranan golongan belia dalam pembangunan masyarakat di negeri ini.

Katanyta, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor adalah seorang yang prihatin dalam melahirkan pemimpin yang berkaliber pada masa akan datang.

“Saya difahamkan Ketua Menteri meluluskan peruntukan sebanyak RM2,000 kepada semua Ahli Dewan Belia Sabah yang dilantik untuk mereka menjalankan program di kawasan masing-masing.

“Ini adalah satu kesempatan bagi semua Ahli Dewan Belia Sabah yang dipilih supaya dapat menjalankan program dan memainkan peranan seperti yang diharapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam majlis penyerahan sumbangan daripada Ahli Dewan Belia Sabah Apas untuk pembukaan akaun Tabung Haji, di sini, semalam.

Menurutnya, program sumbangan yang dilaksanakan oleh Ahli Dewan Belia Sabah DUN Apas Khairul Anwar Junus sangat baik kerana ia betul-betul memberi manfaat kepada masyarakat.

“Usaha ini sangat jarang dilakukan oleh mana-mana pihak terutamanya belia di daerah ini dan ia dilihat dapat memberi masyarakat peluang membuka akaun Tabung Haji.

“Justeru, saya mengharapkan masyarakat di daerah ini supaya dapat mengambil peluang membuka akaun Tabung Haji secara percuma anjuran Ahli Dewan Belia Sabah DUN Apas,” katanya.

Ismail juga menasihatkan masyarakat Tawau supaya dapat mendaftarkan akaun anak mereka di Tabung Haji kerana banyak manfaat yang diperolehi.

“Pendeposit Tabung Haji boleh dibuat seawal anak baharu lahir dan sekiranya ada rezeki mereka boleh menjalani ibadah haji pada usia muda,” katanya.

Turut hadir, Pengarah Tabung Haji Negeri Sabah, Yusdi Haji Nasip dan Pengurus Cawangan Tabung Haji Tawau, Ajmal Junaidi.

— Hamzah Sanudin

Exit mobile version