Site icon Sabah Baru News

BN Sabah kembali terajui kerajaan negeri?

Penulis berpendapat, walaupun kerjasama BN-Warisan menonjol di kawasan bumiputera islam, akan tetapi, GRS menerusi Gagasan Rakyat boleh mengekalkan kerusi yang sedang disandang termasuk kerusi-kerusi yang dibawa daripada parti Umno dan Warisan, kecuali kerusi-kerusi tertentu.

PADA 22 Julai lalu di Sandakan sempena Himpunan Barisan Nasional (BN) Sabah, ucapan Presiden MCA antara lain, BN akan ambil balik kerajaan Sabah. Maksud ucapan itu, pada PRN-17, parti itu menang minimum 37/73 kerusi.

Dalam politik, sasaran dan semengat itu mesti ada, jika sebaliknya maka jangan berpolitik. Pun demikian, kena juga ukur baju di badan sendiri.

Berpandukan pada politik semasa, apa yang dikatakan Presiden MCA itu ada kebenarannya jika berlaku kolaborasi/kerjasama antara BN dan Warisan, kerana di atas kertas dua parti itu mempunyai jumlah keahlian lebih ramai berbanding parti-parti lain.

Kerjasama dua parti itu berimpak di kawasan bumiputera islam, tidak di kawasan bumiputera bukan islam dan cina. Pun demikian, pola pengundian yang berubah kesan pengelibatan undi kali pertama dan undi18, pemenang masih berpandukan pada undi terbanyak (bukan undi popular), iaitu First Past The Post (FPTP).

Walaupun kerjasama BN-Warisan menonjol di kawasan bumiputera islam, akan tetapi, GRS menerusi Gagasan Rakyat boleh mengekalkan kerusi yang sedang disandang termasuk kerusi-kerusi yang dibawa daripada parti Umno dan Warisan, kecuali kerusi-kerusi tertentu.

Latar belakang pilihan raya Sabah pada kelazimannya pengundi mengundi parti dan pemimpin yang disokong walaupun tidak lah 100 peratus. Atas sebab itu pada PRN-17, pengundi mengundi berpandukan ketua parti masing-masing, di pihak GRS adalah Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, di pihak Umno/BN Datuk Bung Moktar Radin dan Warisan Datuk Shafie Apdal.

Tiga pemimpin tersebut merupakan poster boy bagi masing-masing parti. Makna kata, rakyat Sabah akan mengundi mengikut pemimpin yang disokong.

Datuk Seri Panglima Hajiji dibantu Presiden STAR, Presiden PBS, selain barisan pemimpin dalam GRS, manakala Datuk Bung dibantu Datuk Salleh Tun Said, Datuk Rahman Dahlan, manakala Datuk Shafie Apdal dibantu Datuk Jaujan Sambakong dan lain-lain.

Keputusan PRN-17 bukan sesuatu yang luarbiasa, jika didapati, TIADA parti-parti yang melepasi angka keramat 37/73. Makna kata, untuk tujuan penubuhan kerajaan, maka memerlukan sokongan sesebuah parti secara enblok, atau sokongan terpencil ADUN-ADUN tanpa keluar daripada parti masing-masing. Sokongan seperti ini boleh berlaku, kerana jika parti asal memecat wakil rakyat itu maka tidak menyebabkan kekosongan.

Gambaran di atas hanya berpandukan pengalaman lalu-lalu, apabila undi semakin berpecah kesan pengelibatan banyak parti. Antara parti yang terlibat adalah Bersatu/Perikatan Nasional dan Parti Demokrasi Malaysia (PKDM). Kehadiran Bersatu/PN dirasai di kawasan bumiputera islam manakala PKDM di kawasan bumiputera bukan islam.

Meramal keputusan PRN-17 Sabah tidak mudah kerana pertukaran silang pengundi. Tiada jaminan ahli sesebuah parti mengundi calon parti masing-masing, atas sebab pengundi berpandukan pada calon yang disukai. Kerana pengundi mengundi calon yang disukai, atas sebab itu di Sabah kemenangan calon bebas adalah biasa.

Kenyataan Presiden MCA bahawa BN akan mengambil balik Sabah hanya berbentuk semangat menjelang PRN-17, kerana tiada indikator yang menyebabkan rakyat Sabah mengembalikan pemerintahan Barisan Nasional.

Bagi rakyat Sabah pada masa sekarang, nostalgia lalu tidak perlu berulang. Istilah hijrah daripada kapal kecil ke kapal besar untuk “selamat” telah dinoktahkan pada PRU-14, manakala slogan SABAH KITA PUNYA dinoktahkan pada PRN-16 dan PRU-15.

Rakyat Sabah kini, cenderung memilih RUMAH KITA, KITA YANG JAGA menerusi SABAHFIRST, SABAHFORWARD, SABAHPROSPER DAN SABAHUNITED DEMI SAYANGI SABAH.

*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau .

Exit mobile version