Site icon Sabah Baru News

Pelihara, selamatkan alam sekitar – Jafry

Mohd Yusrie (dua dari kanan) melawat reruai SK Lambidan yang memenangi Anugerah Sekolah Lestari Alam Sekitar 2022 bagi kategori sekolah rendah.

KOTA KINABALU: Menerusi program serta aktiviti sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2022, masyarakat diharap memikul tanggungjawab memelihara dan menyelamatkan alam sekitar.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan Dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, selaras dengan tema sambutan tahun ini iaitu “Alam Sekitar, Tanggungjawab Bersama”, pihaknya telah menjalankan beberapa program bertujuan memberi kesedaran kepentingan alam sekitar dan sayangi bumi di peringkat sekolah juga masyarakat umum.”

Pada tahun ini, HASN disambut dengan tema yang membawa makna besar membentuk minda rakyat untuk seiring dan sejalan melestarikan alam sekitar, di samping mendidik masyarakat pentingnya pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar demi generasi akan datang,” katanya yang diwakili Ketua Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan Dan Alam Sekitar, Datuk Sr. Mohd Yusrie Abdullah.

Mohd Yusrie (empat dari kiri) bergambar kenangan bersama agensi-agensi yang terlibat sepanjang HASN Sabah 2022.

Pada majlis itu, Mohd Yusrie menyampaikan hadiah kepada Pemenang Pertandingan Video Kreatif Alam Sekitar, SK Lok Yuk Sikuati Kudat dan Pemenang Pertandingan Fotografi Alam Sekitar, Sem Ambrose graduan Universiti Teknologi Malaysia.

Turut disampaikan hadiah Pertandingan Mewarna Sekolah Lestari (sekolah rendah), Amber Chee Jin Juan iaitu Pelajar SJKC Anglo Chinese Kota Kinabalu sebagai pemenang kategori tahap 2 manakala Nelvera Niesyonella Petrus dari SJKC Lok Yuk bagi tahap 1.

Anugerah Sekolah Lestari Alam Sekitar (sekolah rendah) pula diraih SK Lambidan, Kuala Punyu, sementara kategori sekolah menengah dimenangi SM St Michael, Penampang. 

Hadir sama, Pengarah JAS Negeri Sabah, Amirul Aripin, Pengarah JPAS Vitalis J. Moduying dan Ketua Pegawai Eksekutif Kebabangan Petroleum Operating Company (KPOC) Sdn. Bhd, Ahmad Lutpi Haron.

wartaoriental

Exit mobile version