Site icon Sabah Baru News

Kerjasama Gagasan Rakyat-PH wajar terus diperkukuhkan

TERIMA KASIH:Muammar Julkarnain menyampaikan cenderahati kepada Tan Lee Fatt bersama-sama dengan ahli jawatankuasa PGRS Likas di pejabat Pembantu Menteri Kewangan di Menara Kinabalu kelmarin.

KOTA KINABALU:Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Likas melahirkan keyakinan bahawa hubungan baik dengan Pakatan Harapan (PH) akan terus kekal dan kukuh sehingga Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum yang akan datang.

Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat (PGRS) Likas, Muammar Julkarnain berkata, pada masa kini hubungan berkenaan berjalan dalam keadaan baik dan tidak timbul sebarang masalah di Sabah ini.

Menurut beliau, jika wujud sebarang isu perbezaan pendapat itu adalah perkara biasa dalam mana-mana organisasi dan kerjasama serta tidak menjejaskan matlamat bagi kedua-dua gabungan parti.

“Saya penuh percaya, jalinan kerjasama PGRS dan PH akan terus dapat diperkukuhkan khususnya dalam usaha kita memajukan negeri dan menyatupadukan rakyat.

“PGRS amat selesa bekerja dengan PH Sabah serta parti-parti lain yang menyertai kerjasama membentuk kerajaan negeri ketika ini. Kita melihat wujud keserasian dalam mentadbir negeri pada masa ini dan tidak ada sebab untuk gabungan tempatan itu menjalinkan kerjasama dengan parti lain,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa kunjungan hormat PGRS Likas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Likas di Kementerian Kewangan, Kota Kinabalu kelmarin.

Turut hadir semasa kunjungan hormat itu ialah Ketua Wanita PGRS Likas, Halizah Din; Ketua Pemuda PGRS Likas, Shamee Mohd Ron; Ketua Beliawanis PGRS Likas, Noor Azee Ashikeen Angsari, Setiausaha Bahagian PGRS, Zakaria Mandalam; Ketua Penerangan PGRS Likas, Mohd Shahezam Salisi serta ahli-ahli jawatankuasa bahagian PGRS Likas.

Kunjungan hormat ini juga bertujuan menjemput Tan Lee Fatt sebagai jemputan khas ke mesyuarat PGRS Likas yang akan di adakan pada 17 Ogos ini.

Muammar juga berkata, kerjasama berkenaan telah terbukti berjaya dan sewajarnya diteruskan bagi jangka masa panjang demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat Sabah sendiri.

“Hasrat kita adalah mahu satu bentuk kestabilan politik di Sabah seperti yang ada pada hari ini. Tanpa kestabilan politik serta kepimpinan kerajaan yang kuat sukar untuk sesebuah kerajaan merancang serta melaksanakan program kemajuan negeri.

“Sebab itu, kita mahu rakyat Sabah keseluruhannya turut memberi sokongan padu kepada kerjasama baik antara PGRS dan PH hari ini dan berterusan sehingga Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum,’ katanya.

— TAMAT

Exit mobile version