Site icon Sabah Baru News

Tiga rumah, empat kenderaan terbakar di Penampang

TERBAKAR: Keadaan kebakaran di lokasi kejadian.

PENAMPANG: Penghuni di Kampung Pogunon Jalan Penampang Tambunan bukan hanya kehilangan tempat kediaman tetapi empat kenderaan turut musnah dalam kejadian kebakaran membabitkan tiga buah rumah di kampung terbabit subuh tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tinggalan berkata, kejadian jam 2.06 pagi itu bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.

Katanya, pasukan bomba dari BBP Penampang mengambil masa kurang dari 20 minit bersama jentera ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 13 kilometer.

“Sebaik tiba di lokasi, operasi memadam kebakaran dilaksanakan menggunakan dua aliran 300 kaki, tiga pancutan dengan sumber air berterusan 200kaki dari pili bomba. 

“Kebakaran berjaya dikawal kira-kira sejam kemudian dan dua rumah jenis separuh kekal masing-masing seluas 40X30 dan 70X50 kaki persegi musnah sepenuhnya manakala sebuah lagi rumah seluas 60X40 terbakar 70 peratus,” katanya.

Beliau berkata, turut musnah dalam kejadian ini ialah empat kenderaan iaitu jenis kompak terbakar 80 peratus, hatchback 90 peratus, sedan 90 peratus dan van yang musnah sepenuhnya.

Katanya, tiada mangsa terlibat dan punca kejadian serta jumlah keseluruhan kerugian masih dalam siasatan.

“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi, operasi keseluruhan ditamatkan jam 5.16 pagi,” katanya.

UB


Exit mobile version