Site icon Sabah Baru News

Empat cedera, kereta bertembung pacuan empat roda

ROSAK: Kenderaan pacuan empat roda mengalami rosak di bahagian hadapan akibat kemalangan itu.

TAWAU: Empat cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kampung Wakuba Batu 16, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam itu, sebuah kereta yang dinaiki seorang lelaki musnah terbakar selepas bertembung dengan pacuan empat roda.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.29 malam.

Katanya, seramai lapan anggota dan pegawai bersama dua jentera termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat mangsa.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati insiden membabitkan sebuah kereta yang musnah terbakar selepas berlakunya kemalangan dengan pacuan empat roda.

“Terdapat empat mangsa yang terlibat mengalami kecederaan, namun sudah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran kereta berkenaan dengan menggunakan sumber air dari jentera bomba.

“Pasukan EMRS memberikan rawatan awal, sebelum semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan susulan.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan lokasi kemalangan selamat dan operasi ditamatkan pada jam 10.15 malam,” katanya.

UB



Exit mobile version