Site icon Sabah Baru News

Penganjur pertandingan bola sepak perlu izin Tawau FA : Fazlih

FAZLIH

TAWAU: Penganjur pertandingan sukan bola sepak dinasihatkan supaya memberi makluman secara rasmi dengan Persatuan Bola Sepak Daerah Tawau (Tawau FA) bagi mengelak sebarang masalah berlaku.

Setiausaha Tawau FA, Fazlih Ahmad berkata, pemakluman itu termasuk juga untuk pertandingan Futsal dan Bola Sepak Pantai yang dianjurkan di daerah ini.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil serius mengenai penggunaan pengadil pertandingan tidak bertauliah yang boleh mendatangkan kesan negatif terhadap sesuatu perlawanan.

“Kita tidak mahu disebabkan mutu pengadilan yang kurang cekap dan bermasalah menyebabkan imej sukan bola sepak di daerah Tawau akan terjejas.

“Justeru, Tawau FA menekankan supaya setiap penganjuran perlu mendapatkan pengadil yang lulus Ujian Kecergasan dan Taklimat Tahunan (UKT) daripada jawatankuasa Pengadil SAFA/ FAM,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, sebelum ini berlaku insiden pertandingan yang tidak melalui Tawau FA menyebabkan penganjuran berkenaan bermasalah terutamanya membabitkan pengadil dilantik.

“Ia menimbulkan kesukaran kepada semua pihak terutamanya pasukan-pasukan yang bertanding terutamanya pasukan luar.

“Bagaimanapun, masalah itu berjaya diselesaikan dengan baik selepas campur tangan Presiden Tawau FA, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan,” katanya.

Fazlih berkata, semua peminat sukan bola sepak perlu bekerjasama bagi membantu merealisasikan matlamat SAFA dan FAM dalam mengenal pasti bakat pemain melalui penganjuran pertandingan.

“Kita juga mahu mengeluarkan produk berkualiti dan membantu kematangan pengadil yang berpotensi untuk diketengahkan sehingga ke peringkat kebangsaan atau antarabangsa pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, beliau menjemput semua pencinta sukan bola sepak di daerah ini menyaksikan perlawanan Piala Sumbangsih pada 10 Ogos depan sebagai bermulanya kerancakkan pertandingan bola sepak di Tawau.

“Sebanyak 24 pasukan akan mengambil bahagian dalam kejohanan Liga Bola Sepak Tawau FA 2024 dan semua perlawanan akan dijalankan di lokasi pilihan di daerah ini,” katanya.

UB



Exit mobile version