Site icon Sabah Baru News

Kementerian Pengangkutan diminta pantau kadar tambang kapal terbang

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib merakamkan kenangan bersama pegawai-pegawai kesihatan dan kakitangan Klinik Kesihatan (KK) Telupid.

KOTA KINABALU: Kementerian Pengangkutan Malaysia perlu terus memantau kadar tambang kapal terbang yang dikenakan kepada penumpang bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.  

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib berkata, beberapa aduan mengenai isu tambang mahal diterima daripada beberapa individu dari Sabah dan Sarawak yang sering menggunakan laluan udara untuk pergi atau balik dari Semenanjung.  

“Saya difahamkan sebelum ini menteri bertanggungjawab pernah memberi jaminan akan terus memastikan kadar tambang kapal terbang bagi laluan domestik antara Semenanjung ke Sabah dan Sarawak terus dikawal agar tidak membebankan penumpang.

“Justeru, diharap isu ini  terus diberi perhatian sewajarnya bagi mengurangkan bebanan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau turut mencadangkan supaya tawaran tambang murah bukan sahaja dipromosikan setiap kali menjelang perayaan tertentu atau cuti persekolahan.

Katanya, tawaran berkenaan sepatutnya dilaksanakan mengikut kesesuaian secara bulanan yang tidak merugikan syarikat penerbangan selepas mengambil kira kos pentadbiran syarikat mereka.  

Menurutnya, memang pada dasarnya harga tambang yang ditawarkan bagi laluan sehala nampak agak murah, namun selepas pengiraan harga dikenakan cukai, ia akan meningkat seterusnya membebankan penumpang.  

“Saranan saya bukanlah sehingga merugikan pula syarikat penerbangan tertentu.  Tetapi, biarlah ia sentiasa dikawal agar mewujudkan kemudahan tambang yang tidak membebankan pengguna dan berpatutan,” jelasnya.

Sebelum ini, beberapa inisiatif kerajaan termasuk menawarkan subsidi kepada pelajar Sabah dan Sarawak dilaksanakan bagi meringankan bebanan mereka untuk membeli tiket kapal terbang terutamanya semasa musim perayaan dan cuti penggal persekolahan.

— TAMAT

Exit mobile version