APABILA parti-parti bergabung dalam satu entiti, tiada maksud atau tujuan lain, selain saling menyokong dan memerlukan. Ertinya tidak timbul sebarang ugutan atau ancaman antara satu sama lain.
Untuk maksud kelancaran pentadbiran, entiti baru itu ada struktur tersendiri yang mengikat mengikut perlembagaan dan peraturan yang ditetapkan. Makna kata setiap ahli kena patuh pada aturan.
Tidak dinafikan ada pemimpin yang masih belum menjiwai atau belum sempat memaknai maksud dan tujuan bergabung, sehinggakan timbul, seperti maksud enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing atau dengan kata lain memperkuat parti masing-masing untuk kelihatan lebih kuat berbanding rakan parti, sedangkan maksud atau tujuan gabungan adalah untuk memperkuat gabungan untuk berdepan dengan parti lain atau parti lawan.
Tidak salah memperkuat parti sendiri, akan tetapi pendekatan atau ayat yang digunakan perlu “ setiap parti perlu diperkukuh, diperkasa, untuk mendokong gabungan” “jangan ada di antara parti gabungan lemah kerana ianya juga mencerminkan kelemahan gabungan”.
Pengerusi gabungan perlu diinstitusikan, demikian juga susunan dalam organisasi, juga keputusan gabungan juga diinstitusikan, makna kata sebarang keputusan yang dibuat diperingkat gabungan adalah keputusan bersama.
Jika semua pihak telah memaknai maksud dan tujuan bergabung, maka setiap komponen bergerak sebagai satu pasukan, cerminan gabungan, menerusinya maka kekuatan terjamin, dan apabila kekuatan terjamin, maka kemenangan di depan pintu, boleh digapai dan direalisasikan.
Berdepan PRN-17, kekuatan gabungan seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu dicerminkan oleh kekuatan semua parti komponen secara enblok dan insklusif, untuk memastikan setiap ahli dan penyokong hanya memangkah calon GRS. Menerusi pendekatan demikian, mencapai angka jumlah kerusi keramat 37/73 dipermudah.
*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau .