Site icon Sabah Baru News

Nizam pemimpin berjiwa besar, disayangi rakyat

PRIHATIN:Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan melawat mangsa-mangsa kebakaran Kampung Kinabutan kecil di Apas, Tawau pada bulan lepas.

KETOKOHAN Datuk Nizam Abu Bakar Titingan selaku pemimpin yang rajin turun padang menyantuni rakyat khususnya di daerah Tawau menjadikan dia disayangi, dihormati dan disegani oleh kawan mahupun lawan dalam dunia politik.

Sosok figura berusia 58 tahun ini mengalir darah pemimpin iaitu tokoh Melayu di Sabah Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan dan merupakan adik kepada bekas Menteri Belia dan Sukan Sabah, Almarhum Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas itu menyerlah kepimpinannya sebagai pemimpin berjiwa besar, mendengar permasalahan rakyat dan memiliki idea dalam membangunkan negara.

Beliau yang terkenal dengan sifat suka membantu tidak mengira sesiapa sahaja walaupun berlainan ideologi politik atau kawasan tempat mengundi.

Setiap kali hadir merasmikan sesuatu acara di peringkat kampung ataupun sekolah, sudah pasti ada berita gembira yang disampaikan. Sumbangan tetap disalurkan sama ada menerusi peruntukan ADUN ataupun kerajaan negeri.

PERPADUAN: Nizam menyarankan supaya semua masyarakat berbilang kaum hidup Bersatu dan harmoni.

Nizam yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah turut memainkan peranan menyatupadukan semua persatuan etnik dan suku kaum di daerah ini.

Beliau berkata bahawa daerah ini terkenal dengan kekayaan budaya dan suku kaum yang boleh dijadikan model perpaduan di seluruh negara.

Semua warga di daerah ini seharusnya bersyukur kerana walaupun wujud pelbagai suku kaum dan etnik di negeri ini, tetapi ia tidak menghalang untuk kita meraikan perayaan bersama-sama.

Justeru, beliau menggalakkan supaya semua persatuan etnik di negeri ini berkolaboratif untuk mengadakan program bersama bagi mengeratkan lagi silaturahim yang sedia terjalin.

Seruan itu disuarakan ketika dalam majlis menghimpunkan sebanyak 16 persatuan etnik dan suku kaum di daerah Tawau anjuran Biro Agama Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Apas.

PENDIDIKAN: Nizam antara pemimpin yang memberikan perhatian sepenuhnya terhadap bidang pendidikan.

Kepimpinan Nizam dilihat berdepan dengan cabaran yang sangat besar kerana kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas rata-rata terletak di pesisir pantai dan terdedah dengan ancaman jenayah dari sempadan negara.

Justeru, beliau perlu memainkan peranan memberikan kesedaran kepada penduduk di kawasannya supaya berperanan menjadi mata dan telinga pasukan keselamatan dengan menyalurkan maklumat.

Dengan pengalaman yang ada, beliau berjaya menjadikan kampung-kampung di kawasan pesisir pantai seperti Kampung Batu Payung, Kg. Tinagat, Kg. Membalua dan Kg. Inderasabah menjadi rakan strategik pasukan keselamatan.

Banyak kejayaan yang sudah dibuktikan menerusi kerjasama antara penduduk kampung dengan pasukan keselamatan termasuklah menggagalkan aktiviti penyeludupan barang terlarang dan penyeludupan manusia.

Ketika berucap dalam program libat urus ESSCOM bersama komuniti di Kampung Inderasabah beliau berbangga kerana kerjasama penduduk menjadikan kawasan itu berada dalam keadaan selamat.

Nizam sentiasa memberikan sokongan sama ada melalui sumbangan mahupun komitmen dalam setiap program-program masyarakat bersama pasukan keselamatan.

Dalam melahirkan modal insan yang bakal menerajui negara, Nizam sangat menjaga dan menitikberatkan soal pendidikan anak-anak di daerah ini.

Beliau adalah pemimpin yang paling popular dalam kalangan warga pendidikan di daerah ini untuk dijemput merasmikan sesuatu acara di peringkat sekolah ataupun Pejabat Pendidikan Daerah.

Difahamkan juga beliau mengeluarkan belanja besar untuk membantu pelajar terutamanya yang mahu melanjutkan pengajian ke menara gading dengan memberikan sumbangan komputer riba, tiket penerbangan ataupun yuran pengajian.

Jadi tidak salah sekiranya jolokan ‘Bapa Pendidikan’ di Tawau diberikan kepada beliau kerana sumbangan bakti yang telah diberikan selama ini.

Selain pelajar, Nizam juga turut mengambil berat soal warga pendidik di daerah ini supaya terus meningkatkan ilmu pengetahuan terutamanya dalam bidang teknologi maklumat (IT) dan pendigitalan selari era masa kini.

Ketika berucap dalam Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah (MAPenS) yang dihadiri Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Datuk Raisin Saidin beliau memberikan penekanan terhadap penguasaan bidang IT bagi memudahkan warga pendidik melahirkan modal insan yang berdaya saing.

Sebagai pemimpin utama di daerah ini, Nizam juga memainkan peranan soal kemajuan Tawau supaya menjadi destinasi tumpuan pelancong.

Beliau dilihat sering memberikan idea bernas supaya Tawau tidak ketinggalan dari segi pelancongan antaranya cadangan menjadikan bulan Jun sebagai Tahun Melawat Tawau dengan menyediakan pelbagai aktiviti mega bertaraf antarabangsa di daerah ini.

Majlis Perbandaran Tawau (MPT) disaran menganjurkan aktiviti menarik seperti perlumbaan perahu naga, marathon dan basikal yang melibatkan penyertaan dari negara luar.

Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) yang sudah menjadi kalendar tahunan bagi daerah ini juga boleh diisi dengan aktiviti lain.

PRIHATIN: Nizam seorang pemimpin yang sangat prihatin terutamanya penduduk yang ditimpa musibah.

Tidak mahu penduduk daerah ini terus berhadapan dengan musibah kebakaran, beliau telah mencadangkan setiap kampung perlu disediakan pili bomba bagi memudahkan pasukan bomba menjalankan operasi dan mencari sumber air sekiranya berlaku insiden kebakaran.

Cadangan itu sudah dibawa dan dikemukakan pada Mesyuarat Tindakan Daerah supaya ia dapat dilaksanakan secepat mungkin.

Beliau yang ditemui semasa menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran Kampung Kinabutan Kecil baru-baru ini akan terus berusaha supaya pili bomba di setiap kampung dapat direalisasikan.

Masih banyak lagi sumbangan beliau yang tidak dapat dimuatkan dalam penulisan kali ini dan apa yang penulis cuba sampaikan bahawa orang Tawau bertuah mempunyai pemimpin berjiwa rakyat seperti Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

* Hamzah Sanudin merupakan seorang wartawan. Penulisan beliau juga turut disiarkan oleh akhbar tempatan, Utusan Borneo.

Exit mobile version