PEMBANGUNAN infrastruktur jalan menjadi nadi penggerak pertumbuhan ekonomi setempat.
Tidak hairanlah, kerajaan menerusi Kementerian Kerja Raya (KKR) menyediakan jumlah peruntukan besar dalam belanjawan setiap tahun.
Sabah dan Sarawak di wilayah Borneo tidak ketinggalan menerima agihan peruntukan pembangunan itu, termasuk bagi tujuan penyelenggaran jalan dan jambatan Persekutuan di kedua-dua negeri berkenaan.
Projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) menghubungkan kedua-dua negeri berkenaan, bakal membawa dimensi baharu landskap pembangunan infrastruktur apabila siap sepenuhnya kelak.
Ketika ini, pelaksanaan projek LPB bagi jajaran Sabah sejauh lebih 706 kilometer dari Sindumin hingga ke Tawau, sedang rancak dalam pelaksanaan secara berfasa.
Manakala di Sarawak sudah hampir siap pelaksanaannya, membabitkan jarak lebih 786 kilometer dari Telok Melano hingga ke Miri.
Ketua Penerangan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Senator Annabell Perian, berkata rakyat Sabah perlu berterima kasih kepada Kerajaan Pusat dan Negeri kerana kesungguhan mereka untuk menyediakan dan menjayakan pembangunan infrastruktur di negeri ini.
Katanya, pelaksanaan LPB adalah bukti komitmen kerajaan menyediakan kemudahan terbaik buat rakyat.
“Rakyat Sabah dan Sarawak cukup bersyukur kerana ini adalah satu-satunya lebuh raya terpanjang di Malaysia yang tidak dikenakan tol oleh kerajaan.
“Ini menunjukkan salah satu iltizam dan kesungguhan Kerajaan Pusat dan negeri untuk menyediakan kemudahan rangkaian secara percuma dan membantu menaik taraf infrastruktur serta kemudahan rakyat dengan lebih baik,” katanya.
Beliau yakin LPB Fasa 1 yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2026, akan memberi impak positif, bukan sahaja pertumbuhan ekonomi tetapi juga sosial kehidupan rakyat.
“Dari segi ekonomi, kita melihat jalan raya yang wujud ini akan memakmurkan beberapa kawasan kampung dan daerah yang aktiviti utama mereka adalah pertanian.
“Ini kerana ia memudahkan mereka membawa hasil pertanian dengan lebih cepat, mudah, murah dan akses yang lebih luas ke kawasan lain,” katanya.
Selain itu, katanya, pembukaan jalan LPB ini pasti membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk sepanjang jajaran.
Beliau berkata dengan kemudahan jalan dan elektrik yang baik, sudah pasti akan wujud kedai-kedai atau hentian rehat dan rawat (R&R) seperti di Semenanjung untuk kemudahan pengguna jalan.
Dalam pada itu, Annabell melihat pembangunan projek LPB ini memudahkan orang Sabah keluar ke pekan atau bandar dengan lebih mudah dan cepat.
“Dari segi sosialnya, mereka mampu bertemu keluarga (aktiviti sosial) dengan jalan yang semakin baik.
“Yang penting, keselamatan dari segi pemanduan dan penjagaan kenderaan akan lebih baik kerana tidak perlu khuatir berbanding keadaan jalan sebelum wujud LPB,” katanya.
Annabell yang juga Ketua Wanita Gagasan Rakyat Bahagian Sungai Sibuga menyifatkan pelaksanaan LPB sebagai cabaran besar kerajaan dalam meningkat taraf hidup masyarakat dari segi pembangunan infrastruktur.
Ini kerana keadaan bentuk muka bumi di Sabah yang saja mencabar, tetapi juga taburan penduduk yang berselerak di lokasi-lokasi berjauhan
“Tetapi saya yakin dan percaya Kerajaan Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Hj Noor, mampu dan komited untuk meningkatkan kemudahan untuk rakyat.
“Namun, usaha yang dilaksanakan kerajaan ini memerlukan kerjasama semua rakyat untuk menjayakan hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Justeru, mekanisme terbaik ialah setiap pengguna jalan harus kerap ‘berkomunikasi’ dengan agensi terlibat melalui saluran yang disediakan, sama ada menggunakan hotline atau aplikasi yang dibangunkan seperti applikasi MYJalan untuk membuat sebarang aduan tentang keadaan atau kerosakan jalan di kawasan mereka,” katanya.
Sementara itu, Ketua Wanita Gagasan Rakyat Bahagian Likas, Halizah Din, berkata usaha kerajaan negeri di bawah pentadbiran Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyediakan kemudahan infrastruktur untuk rakyat, adalah usaha berterusan bersama Kerajaan Pusat, bagi merealisasikan hala tuju SMJ.
“Usaha berterusan khasnya melalui Kementerian Kerja Raya untuk memperbaiki dan menambah baik kemudahan infrastruktur jalan raya khususnya di Sabah terbukti melalui pemberian dana RM130 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan persekutuan seluruh negeri Sabah.
“Selain itu, projek LPB Sabah Fasa 1A yang kini siap 77.41 peratus dan dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya pada 2026, menunjukkan kerajaan serius dalam menjaga kebajikan rakyat.
“Saya yakin apabila siap sepenuhnya semua pakej LPB ini, rakyat akan dapat manfaat menyeluruh, sekali gus merubah landskap infrastruktur jalan raya kita,” katanya.
Dalam pada itu, Halizah optimis pertumbuhan ekonomi akan berkembang pesat di sepanjang jajaran LPB.
Katanya, usaha itu seiring hala tuju kerajaan negeri dalam merancakkan ekonomi penduduk seluruh negeri, sekali gus menambah baik kegiatan ekonomi penduduk dari tahap mikro.
“Apabila infrastruktur utama iaitu jalan sudah baik, pastinya perkembangan ekonomi penduduk akan semakin rancak.
“Ini kerana pergerakan dari satu destinasi ke satu destinasi lain menjadi lebih mudah, khasnya penduduk tempatan yang berdagang, berjualan dan berniaga, sekali gus menjimatkan masa dan tenaga,” katanya.
Beliau berkata kegiatan ekonomi kecil-kecilan yang diusahakan penduduk boleh berkembang ke daerah lain, malah boleh merentasi hingga ke Sarawak atau negara jiran terdekat, Brunei Darussalam mahupun Kalimantan, Indonesia.
Dalam pada itu, Halizah turut berkongsi harapan untuk melihat perubahan positif berkaitan pembangunan infrastruktur di seluruh negeri Sabah.
“Sudah pasti sebagai anak negeri tercinta ini, saya mahukan Sabah tampil dalam satu imej dan dimensi baharu, di mana rangkaian jalan raya berkembang dengan baik, lengkap dan boleh diakses oleh semua rakyat kita.
“Untuk tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, semoga segala usaha yang dirancang untuk tujuan ini dapat direalisasikan,” katanya.
Presiden Persatuan Petani dan Penternak Bumiputera Sabah (PETANAH), Gaibin Ransoi, optimis bahawa pelaksanaan LPB membawa kesan singnifikan dalam menggerakkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan kawasan yang berpotensi.
Katanya, projek berkenaan akan membawa banyak perubahan kepada kedua-dua negeri berkenaan apabila siap sepenuhnya nanti.
“Ini kerana ia akan meningkatkan hubungan jalan raya antara bandar-bandar utama kawasan terpencil di kedua-dua negeri.
“Pelaksanaan LPB ini memudahkan pergerakan perkhidmatan dan perniagaan secara meluas, seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan,” katanya.
Gaibin turut menghargai komitmen Kerajaan Pusat memperuntukkan RM2.8 billion untuk menyelenggara jalan raya dan jambatan di Sabah dan Sarawak.
Katanya, ia menunjukan kesungguhan Kerajaan Pusat memperbaiki dan meningkatkan infrastruktur di kedua-dua negeri berkenaan.
“Projek LPB tanpa tol ini adalah salah satu usaha Kerajaan pusat membantu mengurangkan kos perjalanan, dan ini sudah tentu memberi kesan positif kepada ekonomi tempatan.
“Yang lebih penting, ia membuka peluang pelaburan baharu serta meningkatkan taraf hidup penduduk, terutama masyarakat petani dan penternak Bumiputera Sabah,” katanya.
Gaibin turut menggariskan lima cadangan sebagai mekanisme meningkatkan kemudahan jalan raya di Sabah dan Sarawak yang luas taburan penduduknya.
Pertama, pertingkatkan infrastruktur jalan raya utama untuk menghubung kawasan terpencil, antara bandar dan pedalaman.
Kedua, meningkatkan keadaan jalan sedia ada dengan melakukan pemantauan, pembaikan dan penyelenggaraan berkala.
Ketiga, penggunaan teknologi yang memanfaatkan seperti pengurusan lalu lintas pintar dan kerja-kerja pemantauan.
Keempat, pembangunan terowong sebagai tambahan kepada jambatan sedia ada untuk mempercepatkan perjalanan.
Kelima, pendidikan dan kesedaran pengguna mengenai penjagaan bersama jalan raya harus ditingkatkan.
Sementara itu, Presiden Penaja Persatuan Suara Anak Sabah, Doroni Balantis, berkata Sememangnya projek LPB memberi impak besar kepada pembangunan ekonomi dan sosial penduduk setempat dan negeri amnya.
Katanya, ini kerana pembinaan jalan raya baharu mampu melancarkan pengerakan penduduk setempat d isamping membuka pembangunan ekonomi baharu seperti pembukaan ladang, bangunan dan pusat kegiatan ekonomi.
“Kita dapat melihat beberapa bandar baharu atau pusat tumpuan telah dibangunkan hasil pelaksanaan projek LPB ini,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya keutamaan diberikan kepada rangkaian jalan utama yang menjadi alternatif laluan penduduk khususnya di Sabah.
Katanya, jalan yang dimaksudkannya seperti jalan Keningau ke Tawau, Jalan Kota Marudu ke Beluran, Jalan Telupid ke Keningau dan Jalan Tuaran ke Kudat kerana jalan-jalan alternatif ini mampu memendekkan perjalanan berbanding jalan utama.
Doroni juga berkata usaha kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibhraim menunjukkan usaha lebih bersungguh-sungguh dengan arahan supaya pemaju mempercepatkan penyiapan projek yang tertangguh dan tidak mengikut masa penyiapan.
“Namun usaha ini tidak akan berjaya sepenuhnya tanpa kerjasama kerajaan negeri dan pihak pemaju yang diberi tanggungjawab.
“Kita lihat perbezaaan yang agak ketara di antara Sabah dan Sarawak, kemajuan penyiapan projek LPB di mana Sarawak hampir siap sepenuhnya projek mereka,” katanya.
Sementara itu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ketika melawat projek LPB Fasa 1A (Pakej WP06 Putatan-Inanam) dan Mitigasi Banjir di Penampang baru-baru ini, berkata kemajuan fizikal secara keseluruhan bagi Fasa 1A itu kini siap sekitar 77.41 peratus.
Ia melibatkan 15 pakej kerja, iaitu empat pakej sudah siap manakala 11 pakej lagi masih dalam pelaksanaan pembinaan dan dijangka siap keseluruhannya pada Mac 2026.
Alexander berkata KKR komited menyegerakan penyiapan projek berkenaan dan berusaha menangani masalah yang dihadapi, termasuk melibatkan koordinasi antara syarikat ataupun kontraktor dan agensi kerajaan serta konsultan.
Dalam tinjauan itu, beliau diberi taklimat oleh JKR Sabah dan wakil daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya.
Sementara itu, Alexander turut melawat ke Tawau untuk melihat sendiri dan meninjau keadaan jalan Persekutuan iaitu R13 Jalan Sandakan-Tawau yang sebelum ini banyak diperkatakan, termasuk dibangkitkan di Parlimen.
Ketika ditemui selepas melawat kawasan runtuhan pembetung di Seksyen 256.295 yang menyebabkan kerosakan struktur jalan, beliau berkata KKR meluluskan peruntukan RM130 juta bagi kerja-kerja penyenggaraan berkala turapan dan bukan turapan untuk jalan Persekutuan di Sabah tahun ini.
Katanya, daripada jumlah itu RM9.979 juta diperuntukkan kepada daerah Tawau.
“Pada hari ini saya sendiri meninjau keadaan jalan Persekutuan iaitu R13 Jalan Sandakan-Tawau yang sebelum ini saya dengar banyak rungutan jalan teruk termasuk dari wakil rakyat di sini semasa persidangan di Parlimen dan kebetulan ada kejadian runtuhan pembetung di sini menyebabkan kerosakan struktur jalan,” katanya.
Beliau juga berkata KKR turut memohon peruntukan lebih daripada kerajaan untuk tahun hadapan bagi pembaikan jalan sempena Malaysia menjadi pengerusi Mesyuarat ASEAN serta Tahun Melawat Malaysia pada 2026.
“Fokus berterusan terhadap penyenggaraan jalan raya ini merupakan komitmen kerajaan untuk menyediakan infrastruktur selesa dan selamat kepada semua rakyat Malaysia Madani secara konsisten,” katanya.
Secara keseluruhan, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.8 bilion bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan dan jambatan Persekutuan sepanjang 2024.
Bagi tahun 2024, Sabah telah menerima RM130 juta peruntukan bagi kerja-kerja penyenggaraan bagi jalan Persekutuan.
Sementara Sarawak pula menerima peruntukan RM105.9 juta bagi tahun 2024 untuk membiayai penyelenggaraan jalan raya Persekutuan.
— TAMAT