Site icon Sabah Baru News

Sabah lancar projek perintis tanaman padi di Kota Marudu

PADI: Hajiji menandatangani plak sempena dengan pelancaran projek perintis padi di Jalan Ongkilan Kota Marudu. Turut kelihatan Jeffrey (tengah) dan Jahid (dua kanan).

KOTA MARUDU: Kerajaan negeri, melalui Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Kumpulan Sawit Kinabalu dan Jabatan Pertanian melancarkan projek perintis penanaman padi seluas 100 hektar di Kampung Ongkilan di sini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, projek perintis ini akan membantu kerajaan negeri untuk meningkatkan tahap sara diri (SSL) Sabah kepada 60 peratus menjelang 2030.

“Keselamatan makanan adalah keprihatinan utama global, dan Sabah tidak terkecuali. Penduduk Sabah memerlukan sekurang-kurangnya 400,000 tan beras setiap tahun, sedangkan pengeluaran beras domestik hanya mampu membekalkan 20 peratus daripada penggunaan negeri ini.

“Menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menangani keselamatan makanan dengan bijak dan berkesan bagi memenuhi permintaan rakyat, khususnya beras,” katanya semasa pelancaran projek perintis itu di sini hari ini.

Beliau berkata, Sawit Kinabalu menggunakan semua sumber yang ada dan aplikasi teknologi canggih termasuk dron, dalam operasi dan penyelenggaraan penanaman padi, serta sistem pam air dan pengairan yang lebih sistematik untuk projek bernilai RM5 juta ini.

Hajiji berkata, daerah ini mempunyai kira-kira 2,600 hektar sawah yang terbiar atau tidak digunakan.

“Sehubungan itu, tindakan perlu diambil untuk memastikan sawah yang terbiar ini dapat dihidupkan semula. Saya mahu lebih banyak GLC di Sabah mencontohi usaha Sawit Kinabalu,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji juga mahu kawasan tanah milik GLC yang tidak digunakan supaya dibangunkan untuk pertanian, terutamanya padi yang boleh dilakukan dengan bantuan dari Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan.

“Inisiatif Sawit Kinabalu selari dengan aspirasi kerajaan untuk membangunkan produktiviti padi dan beras negeri ini.

“Saya amat berharap projek penanaman padi Sawit Kinabalu akan diperluas untuk mencapai tahap ekonomi yang lebih besar dan meningkatkan keuntungan syarikat,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong inisiatif yang membawa kepada pembangunan ekonomi yang pesat, mampan dan meningkatkan kualiti hidup komuniti di seluruh Sabah.

Beliau turut gembira dengan usaha yang dibangunkan oleh pihak Sawit Kinabalu di Kota Marudu.

Katanya, selain mengendalikan ladang dan kilang minyak sawit, Sawit Kinabalu juga memainkan peranan penting dalam sektor lain, seperti projek akuakultur pembiakan Barramundi (Siakap) di Langkon yang akan merangsang lagi industri makanan di daerah ini.

“Saya menggesa semua jabatan kerajaan dan agensi berkaitan untuk sentiasa mengambil tindakan proaktif dalam memperkukuh sektor-sektor utama pertumbuhan ekonomi negeri seperti yang dinyatakan dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim.

— TAMAT

Exit mobile version