APA pun data sebelum ini berkaitan Ketua Isi Rumah (KIR) berpendapatan bulanan RM1,169, pada akhir julai 2024 telah dikeluarkan daripada kategori tersebut. Ertinya data sebelum ini tidak relevan lagi dirujuk.
Penduduk Sabah setakat ini adalah 3,742,200 jiwa termasuk bukan warganegara berjumlah 1,043.400 jiwa.
Rakyat Sabah yang berjumlah 2,698,800 jiwa atau kira-kira 600,000 Ketua Isi Rumah (KIR), selepas 31 Julai 2024, tiada lagi terkategori miskin tegar.
Maklumat bahawa tiada lagi KIR berkategori miskin tegar adalah berpandukan laporan media yang memetik Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor semasa melancarkan projek menanam padi di Kota Marudu. Projek kerjasama dengan Jabatan Pertanian Negeri dan Sawit Kinabalu pada Selasa.
Walaupun tiada lagi KIR berkategori miskin tegar, tidak bermakna tiada lagi rakyat kategori miskin, kerana pengertian miskin itu relatif.
Bagi Sabah, ukuran yang digunakan KIR kategori miskin tegar, adalah rumah kediaman dan sumber pendapatan. Dengan tiada lagi KIR berkategori miskin tegar, maka 100 peratus KIR di Sabah sudah mempunyai rumah kediaman dan sumber pendapatan.
Kerajaan negeri menerusi Halatuju Sabah Maju Jaya, melaksanakan berbagai strategi untuk meningkatkan pendapatan perkapita rakyat, sekurang-kurangnya mendekati perkapita nasional. Untuk rekod, pada tahun 2023 pendapatan perkapita nasional adalah RM54,612 dan Sabah adalah RM31,147, berkedudukan di tangga ke-11 dariada 15.
Apa yang membangkakan negeri, walaupun pendapatan perkapita berada diurutan ke-11, akan tetapi daripada segi keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berada pada kedudukan ke-5, selepas Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Sarawak pada tahun 2023.
Berpandukan pada perbezaan yang ketara antara KDNK dan KDNK perkapita, menunjukkan taburan atau agihan pendapatan tidak merata, dan keadaan ini yang merupakan cabaran utama kerajaan negeri.
Agar pemerataan pendapatan tercapai, maka kerajaan negeri berusaha sekuat mungkin memperbetulkan berkaitan kemudahan asas, infrastruktur yang mendokong aktiviti ekonomi, selain meneroka sumber-sumber ekonomi baharu, dan juga tentunya merealisasikan tuntutan 40 peratus hasil Persekutuan daripada Sabah.
Apabila kedudukan KDNK dan KDNK perkapita berada pada urutan yang sama, maka tercapai lah pemerataan. Apabila tercapai, itulah maksud kemakmuran dan kesejahteraan, seperti mana misi kerajaan negeri, SabahFirst, SabahForward, SabahProsper dan SabahUnited demi Sayangi Sabah yang seiring dengan pelan halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau .